Pencapaian SPM 2023 Perak meningkat, 772 calon dapat semua A

Mohamad Fauzi menunjukkan analisis keputusan SPM 2023 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak pada Isnin.
Mohamad Fauzi menunjukkan analisis keputusan SPM 2023 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.75 berbanding 4.92 pada 2022.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson berkata, seramai 772 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dibandingkan 669 calon tahun sebelumnya.

Menurutnya, bilangan calon memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan seramai 3,458 orang berbanding 3,192 calon pada 2022.

"Seramai 15,900 calon atau 58.33 peratus telah memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 iaitu peningkatan 1,140 pelajar berbanding 14,760 calon (53.46 peratus) pada 2022.

"Tahun ini peratusan calon yang layak menerima sijil SPM adalah 92.55 peratus iaitu 25,227 orang, meningkat 2.45 peratus jika dibandingkan pada 2022 yang merekodkan 24,877 calon (90.10 peratus)," katanya kepada pemberita sempena pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini pada Isnin.

Seramai 27,259 pelajar menduduki peperiksaan SPM 2023 di 323 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri bermula 30 Januari hingga 7 Mac 2024.

Mohamad Fauzi berkata, daripada jumlah itu seramai 543 calon merupakan pelajar Orang Asli dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di Kampung Orang Asli Bawong, Sungai Siput merekodkan keputusan 100 peratus lulus.

"Pencapaian SPM 2023 antara bandar dan luar bandar juga dapat diperbaiki dengan jurang pencapaian calon 0.01 mata berbanding 0.02 pada 2022.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan ini adalah hasil beberapa inisiatif yang digerakkan JPN bersama kerajaan negeri antaranya melalui program Tuisyen Cikgu Saarani," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!