Polis tahan ketua sindiket bersama RM4.61 juta dadah

Kok Chin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari suspek dalam dua serbuan.
Kok Chin (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari suspek dalam dua serbuan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang lelaki dipercayai ketua sindiket memproses dan mengedar dadah ditahan di Sungai Ara, Bayan Lepas selepas lebih empat bulan menjalankan operasi haram itu di negeri ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan dari JSJN Bukit Aman pada jam 5.30 petang, 24 Mei lalu.

Polis turut merampas enam pucuk pistol dan 100 butir peluru hidup.
Polis turut merampas enam pucuk pistol dan 100 butir peluru hidup.

Menurutnya, dalam dua serbuan terbabit, suspek warga tempatan itu ditahan dalam sebuah kereta jenis Honda HRV di Changkat Sungai Ara.

Tambahnya, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek bagaimanapun tidak menemui sebarang barang salah.

"Hasil dipandu arah suspek, kita menyerbu sebuah rumah tiga tingkat di Sungai Ara yang dijadikan makmal memproses dadah.

"Di rumah sewa berkenaan, kita menemui 42 bungkus mengandungi 13.8 kilogram (kg) heroin, satu ketulan mampat heroin seberat 376 gram, empat kotak mengandungi 93.9 kg serbuk kafein dan pelbagai peralatan memproses dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dadah bernilai RM4.61 juta dadah yang dihasilkan suspek di makmal proses dadah haram di sebuah rumah di Sungai Ara.
Dadah bernilai RM4.61 juta dadah yang dihasilkan suspek di makmal proses dadah haram di sebuah rumah di Sungai Ara.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Batu Uban pada jam 3.10 petang keesokan harinya.

"Pemeriksaan mendapati, rumah yang disewa suspek itu dijadikan stor untuk menyimpan bekalan dadah yang sudah diproses sebelum dijual kepada pelanggan.

"Di rumah tersebut, kita menjumpai 45 bungkus mengandungi 46.2 kg syabu, 91 ketulan mampat heroin base (33.8 kg), satu bungkus kafien seberat 24.15 kg dan lapan botol kaca mengandungi cecair disyaki bahan kimia," katanya.

Ujar beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM4.61 juta dan boleh digunakan oleh 2.6 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

"Kesemua dadah tersebut adalah untuk pasaran di negeri ini dan Lembah Klang," ujarnya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, polis turut menjumpai enam pucuk pistol pelbagai jenama dan 100 butir peluru di dalam beg yang disorokkan dalam almari di rumah terbabit.

Kok Chin (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas daripada suspek.
Kok Chin (kanan) menunjukkan kereta yang dirampas daripada suspek.

"Pistol yang dirampas adalah jenis Smith&Wesson, Walter, Glock, Mauser-Werke, Star Eibar dan Revolver Smith&Wesson. Kita juga merampas satu kotak bertulis Master.38 Special Cartridges mengandungi 50 butir peluru hidup dan satu kotak bertulis Bullet Master 9mm Para Cartridges mengandungi 50 butir peluru hidup.

"Kita sedang menyemak untuk mengenalpasti sama ada semua senjata api ini pernah digunakan untuk melakukan kes jenayah di negeri-negeri lain atau tidak," katanya.

Jelas beliau, suspek menyewa dua buah rumah terbabit untuk menjalankan kegiatan haramnya itu secara solo.

"Suspek dipercayai memperolehi bekalan dadah dari negara jiran untuk dimasak dan dibungkus sebelum menjualnya kepada pelanggan. Suspek disyaki belajar cara memasak dadah tersebut melalui rakannya yang tinggal di ibu negara.

"Suspek berhubung dengan rakannya itu melalui panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp. Setakat ini, suspek bergerak sendirian, namun kita percaya dia mempunyai orang suruhan yang membantunya untuk menjalankan kegiatan ini," katanya.

Sementara itu, Kok Chin menambah, polis tidak menolak suspek merupakan ketua sindiket berikutan mengamalkan gaya hidup mewah.

"Polis menyita pelbagai aset suspek yang dianggarkan bernilai RM424,000 iaitu empat buah kereta (Honda HRV, Perodua Myvi, Toyota Alphard dan Volkswagen Arteon), dua buah motosikal (BMW dan Yamaha XMAX).

"Honda HRV didaftarkan di atas nama anak saudara suspek, motosikal Yamaha XMAX di atas namanya manakala Toyota Alphard, Volkswagen Arteon dan motosikal BMW didaftarkan di atas nama isterinya.

"Suspek juga mempunyai rumah teres di Rawang, Selangor dan sebuah kondominium yang didaftar atas nama isterinya, masing-masing bernilai RM550,000. Isteri suspek tidak mengetahui kegiatan haram yang dijalankan suaminya," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan bernilai RM5.03 juta dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah manakala ujian saringan air kencingnya juga negatif.

"Suspek direman sehingga 1 Jun ini untuk proses siasatan. Pihak JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!