Mayat lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang

Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
A
A
A

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap dalam longkang di Taman Derga Jaya, di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang berjalan bersama anjingnya di tempat kejadian sebelum menemui mayat terbabit.

Menurutnya, tindakan anjing terbabit menyalak menyebabkan pemiliknya menuju ke tempat penutup besi longkang.

"Saksi membuka penutup besi itu dan terkejut menjumpai mayat lelaki tertiarap di dalam longkang dan terus hubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Nor Salawati, pihaknya menemui barangan peribadi mangsa berusia 58 tahun iaitu kad pengenalan, kad bank dan beg duit.

Menurutnya, polis menghubungi isteri serta anak mangsa dan mereka terus ke lokasi penemuan mayat bagi mengesahkan identiti mayat mangsa.

"Hasil siasatan terhadap isteri mangsa memaklumkan mangsa telah keluar rumah pada jam 3.30 petang Ahad dan tidak memaklumkan untuk ke mana-mana.

"Mangsa mempunyai sejarah sakit parkinson dan mengalami masalah mental sejak 13 tahun lalu," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hasil siasatan ke atas tubuh mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!