Tekanan air rendah di DUN Jeram dijangka selesai Ogos

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dijangka diatasi selepas penggantian paip baharu pada Ogos depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau semasa menghadiri taklimat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, beberapa kawasan di DUN itu sering mengalami tekanan air rendah antaranya di Kampung Bukit Kuching Tengah, Kampung Bukit Hijau dan Kampung Bukit Kerayong.

"Saya tahu bahawa Air Selangor sedang dalam gerak kerja untuk menyediakan paip baharu kepada kampung terlibat (yang mengalami tekanan air rendah)," katanya ketika ditemui pada Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 Puncak Alam di sini pada Ahad.

Harrison melakukan pemeriksaan kesihatan semasa Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 Puncak Alam di Kuala Selangor pada Ahad.
Harrison melakukan pemeriksaan kesihatan semasa Program Jeram Lestari Kesejahteraan Rakyat di Dewan Komuniti Fasa 3 Puncak Alam di Kuala Selangor pada Ahad.

Harrison memberitahu, rakyat di beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah diharap dapat bersabar mengenai perkara itu termasuk isu jalan rosak akibat kerja-kerja penggantian paip baharu di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, Harrison berkata, Air Selangor diharap mengatasi masalah tekanan air rendah sepenuhnya selepas penggantian paip baharu dilakukan.

"Sudah tentu rakyat mengharapkan tekanan air stabil dan tiada lagi gangguan bekalan air di DUN Jeram ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin Air Selangor dapat melaksanakan kerja-kerja penggantian ini dengan baik bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air tanpa sebarang gangguan," tambahnya.

Mengulas mengenai program itu, Harrison berkata, program itu kali kedua dianjurkan sejak beliau dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Beliau memberitahu, program seperti itu terbukti membawa banyak faedah dan kebaikan kepada penduduk setempat terutama ia dilaksanakan pada cuti hujung minggu.

"Pengunjung yang datang menyatakan rasa seronok kerana dapat hadir membuat pemeriksaan kesihatan serta melawat pameran daripada agensi kerajaan dan swasta

"Ada juga permintaan yang mahu program ini dibuat di kawasan lain di DUN ini dan perkara ini masih dalam peringkat pertimbangan untuk diperluaskan di tempat lain," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!