PM luang masa lawat pameran era pasca normal Madani

Anwar meluangkan masa melawat Pameran Era Pasca-Normal MADANI di Berjaya Times Square hari ini. - Foto: Bernama
Anwar meluangkan masa melawat Pameran Era Pasca-Normal MADANI di Berjaya Times Square hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Pameran Era Pasca-Normal MADANI, yang diadakan di Berjaya Times Square di sini.

Beliau yang tiba di tapak pameran pada jam 11 pagi, meluangkan masa kira-kira sejam untuk melihat pameran menampilkan karya enam artis tempatan yang mengetengahkan ciri tonggak utama konsep Madani iaitu Kemampanan, Ihsan, Hormat, Daya Cipta, Kesejahteraan dan Keyakinan.

Antara artis terlibat ialah pengukir Liu Cheng Hua yang menampilkan karya ‘Golden Shafts’, sejenis peralatan perlombongan emas diperbuat daripada sumber buluh tempatan yang diguna meluas di Raub, Pahang pada 2014.

Turut dipamer ialah hasil seni lukisan bertajuk Human Needs Human, Panorama dan Aku Bukan Pendatang dari Stephen Menon, seorang pelukis dan pembuat cetakan yang terkenal dengan teknik inovatif dan karya yang merangsang pemikiran.

Turut hadir ke pameran itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, Pengarah Centre for Postnormal Policy and Futures Studies (CPPFS), Professor Ziauddin Sardar serta Penolong Pengarah CPPFS Scott Jordan.

Pameran bermula hari ini hingga 10 November depan merupakan hasil kerjasama antara Perdana Menteri dan CPPFS manakala Berjaya Times Square pula merupakan penaja dan penganjur program.

Kemasukan ke pameran itu adalah percuma, bersesuaian dengan matlamatnya untuk menyebarkan kesedaran tentang zaman pascanormal yang dilalui rakyat dan bagaimana Anwar yang juga Menteri Kewangan, berusaha menggabungkan pengalaman politik dan keazamannya untuk melakukan pembaharuan, dengan mengambil kira pandangan kajian masa depan dan teori masa pascanormal.

Ini juga bagi memastikan kerangka konsep Madani dapat dibangunkan, sekali gus membantu negara mengharungi arus badai ke hadapan ke arah masa depan yang lebih cerah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!