Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The Star meninggal dunia

Mendiang Ng Poh Tip
Mendiang Ng Poh Tip
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas ketua pengarang kumpulan The Star, Datuk Ng Poh Tip meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya, pada usia 81 tahun.

Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng Sek Yee ketika dihubungi pada Sabtu mengesahkan pemergian itu.

Mendiang yang kematian suami 10 tahun lepas, tidak memiliki anak.

Mendiang memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 1971 dan mencipta sejarah sebagai ketua pengarang kumpulan wanita pertama negara apabila dilantik ke jawatan berkenaan di The Star pada 1993, dan berkhidmat hingga 2003.

Poh Tip berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Sejarah daripada Universiti Malaya pada 1967, dan Sarjana Sastera dalam Pengajian Politik daripada University of Guelph, Kanada, pada 1971.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The Star Michael Aeria seperti yang dilaporkan dalam akhbar berkenaan memaklumkan mendiang sudah lama tidak sihat dan diserang strok dua kali sebelum ini.

Beliau berkata, Poh Tip turut dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lebih seminggu.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga Penasihat Star Media Group Bhd, Datuk Seri Wong Chun Wai pula merakamkan penghargaan kepada Poh Tip kerana menerima beliau menyertai semula The Star selepas menamatkan pengajian di universiti pada 1984.

Artikel Berkaitan:

"Saya meninggalkan The Star pada 1980 dan menamatkan pengajian pada 1984 dan Poh Tip meminta saya kembali ke The Star sehari selepas saya menduduki peperiksaan akhir," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Poh Tip.

Beliau menerusi laman X berkata, sumbangan mendiang Poh Tip sebagai Ketua Pengarang wanita pertama di Malaysia, amat besar dalam dunia kewartawanan tanah air.

"Segala jasa dan bakti mendiang akan sentiasa dihargai dan diingati. May her soul rest in peace," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!