Tidak kejar pengiktirafan luar, langkah tegas PM - Ketua Pengarang

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUCHING - Ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengejar ranking dan pengiktirafan antarabangsa dalam melindungi keselamatan serta ketenteraman negara dilihat sebagai satu pendekatan berani yang diambil oleh Perdana Menteri itu.

Ucapan Anwar pada majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana 2024) berhubung perkara itu mendapat perhatian ketua-ketua pengarang media utama negara.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, beliau tidak kisah jika negara mendapat ranking rendah dalam Indeks Kebebasan Media Dunia oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) kerana Malaysia perlu bertindak tegas dalam isu kaum dan agama.

Bagi Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, ucapan itu harus disampaikan terutama kepada pihak luar yang tidak memahami konteks dan latar belakang Malaysia.

"Yang penting untuk kita adalah memastikan setiap langkah yang diambil ialah untuk kebaikan negara. Kita perlu ikut acuan negara kita sendiri, jadi pihak luar harus faham ini.

"Kita berdepan pelbagai isu sekarang ini di peringkat nasional dan juga antarabangsa. Di Malaysia kita berdepan isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja). Jadi perpaduan itu penting,” katanya kepada Bernama.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman pula berkata, pendirian tegas pemimpin negara dalam isu global mencerminkan Malaysia, meskipun negara kecil, mampu memberi tanggapan yang besar di arena antarabangsa.

"Lihat sahaja pendirian kita. Saya rasa pendirian kita sedikit sebanyak turut buatkan tiga negara Kesatuan Eropah menyokong kewujudan negara Palestin seperti Sepanyol, Ireland dan Norway.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tiada negara yang ke depan macam Malaysia, saya tidak rasa perkara seperti ini akan berlaku, jadi ikutlah kata hati anda, kalau betul maka betullah ia,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!