[VIDEO] Jenazah Sarjan Faridah selamat dikebumikan di Pokok Sena

A
A
A

POKOK SENA - Jenazah anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang di sini pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham Faridah, 39, tiba di tanah perkuburan itu pada jam 9 pagi dan selamat dikebumikan pada jam 10.20 pagi mengikut adat istiadat ketenteraan.

Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, kenalan serta penduduk tempatan turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Jenazah Faridah disolatkan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang, Pokok Sena, pada Sabtu.
Jenazah Faridah disolatkan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang, Pokok Sena, pada Sabtu.

Solat jenazah diimamkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam pada jam 9.30 pagi.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.

Suasana pilu mengiringi pengebumian Allahyarham Faridah apabila empat anaknya iaitu Nurul Syifa Noor Azmi, 13; Muhammad Afnan Noor Azmi, 10; Nurul Jannah Noor Azmi, 7, yang juga orang kurang upaya (OKU) sindrom Down dan Ainul Mardiah Noor Azmi, 4, diberi peluang menatap wajah ibu mereka buat kali terakhir.

Artikel Berkaitan:

Suami Allahyarhamah, Noor Azmi Ariffin (kiri) mengiringi perjalanan terakhir isterinya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang, Pokok Sena, pada Sabtu.
Suami Allahyarhamah, Noor Azmi Ariffin (kiri) mengiringi perjalanan terakhir isterinya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang, Pokok Sena, pada Sabtu.

Jenazah Faridah dikebumikan berhampiran pusara adiknya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.

Sebelum itu, jenazah Allahyarhamah tiba Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar, Kepala Batas pada jam 8.10 pagi sebelum dibawa ke masjid untuk solat jenazah.

Pada Sabtu, jenazah Faridah selamat diterbangkan ke Pendang, Kedah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 7.04 pagi.

Jenazah Faridah dibawa ke tanah perkuburan mengikut adat istiadat ketenteraan.
Jenazah Faridah dibawa ke tanah perkuburan mengikut adat istiadat ketenteraan.

Jenazah beliau sebelum itu tiba di Pangkalan Udara Subang jam 4.56 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jenazah disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin, Pangkalan Udara Subang selepas selesai solat Subuh.

Jenazah Faridah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang pada Sabtu.
Jenazah Faridah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar Kampung Tengah, mukim Tualang pada Sabtu.

Jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam itu disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan ke Pendang, Kedah menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut bersama-sama menunaikan solat jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.

Terdahulu, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Keputusan awal bedah siasat telah diperoleh pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarhamah meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis atau serangan sakit jantung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!