Malaysia Masters: Arif-Roy King lakar kejutan ke separuh akhir

Roy King (kanan) dan Wan Arif mara ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menewaskan pasangan Denmark dalam saingan suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
Roy King (kanan) dan Wan Arif mara ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menewaskan pasangan Denmark dalam saingan suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki negara sedang meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King meneruskan momentum positif apabila melakar kejutan mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2024 pada Sabtu.

Bagaikan kisah dongeng, kejayaan tersebut diraih selepas Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-47 dunia menumpaskan pilihan keenam kejohanan, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam saingan suku akhir sebentar tadi.

Biarpun sedar pasangan dari Denmark itu berada di ranking lebih tinggi ke-18 dunia, namun dengan sokongan ribuan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil menyuntik semangat mereka untuk meraih kemenangan.

Wan Arif-Roy King memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menang 21-18 pada set pertama, namun terpaksa akur dengan gandingan berpengalaman itu yang mengikat permainan 1-1 menerusi kemenangan 21-14 pada permainan kedua.

Enggan berputus asa, pasangan muda negara itu mengenepikan cabaran sengit Kjaer-Sogaard sebelum menoktahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh lebih sejam permainan.

Roy King menyifatkan kemenangan tersebut sebagai suatu keputusan yang mengejutkan kerana tidak menyangka mereka mampu mara sehingga ke final memandang lawan yang berada dalam kedudukan ranking lebih baik.

"Tidak sangka boleh sampai ke separuh akhir. Ketika lihat undian dan lawan yang bakal ditempuhi saya melihat ia sukar bagi kami.

"Namun, saya cuma ikut langkah demi langkah, percaya kepada rakan sepasukan dan taktikal jurulatih. Akhirnya kami sampai di sini (separuh akhir)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Arif-Roy King sebelum ini menundukkan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.

Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-18.

Dalam pada itu, Wan Arif masih belum berpuas hati dengan corak permainannya dan perlu memperbaiki beberapa kelemahan menjelang cabaran separuh akhir pada Sabtu.

"Alhamdulillah, gembira dengan kemenangan ini. Esok (Sabtu) akan berikan yang lebih baik kerana saya main teruk hari ini (Jumaat) dan perlu baiki lagi kelemahan.

"Sasaran kami sebenarnya sehingga ke saingan suku akhir, namun apabila telah sampai ke separuh akhir sudah pasti mahu ke final dan muncul juara. Cuba buat yang terbaik tanpa mengira siapa lawan," katanya.

Menanti Wan Arif-Roy King dalam aksi separuh akhir ialah pemenang antara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!