KPM tumpu usaha tingkat kompetensi guru bimbing pelajar penggunaan AI

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KANGAR - Kementerian Pendidikan (KPM) menumpukan usaha meningkatkan kecekapan guru melalui latihan sewajarnya bagi memastikan golongan pendidik kompeten untuk membimbing pelajar dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, melalui input diterima selepas Dasar Pendidikan Digital (DPD) dilancarkan, pihaknya mendapati pelajar di negara ini mempunyai keupayaan tinggi menerusi inovasi yang dilaksanakan khususnya dalam AI.

"Murid kita mempunyai keupayaan cukup tinggi khusus dalam AI ini, kita harus terus membimbing mereka sebab itu dalam aspirasi kita guru-guru mestilah kompeten. Sebab itu kita memberikan tumpuan pada kompetensi dan latihan guru untuk memandu anak-anak murid kita khusus dalam AI," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Al-Alawiyah di Persiaran Jubli Emas di sini hari ini.

Fadhlina berkata, pelajar di kawasan kampung juga akan menjadi sebahagian komuniti digital sekali gus berkeupayaan menguasai penggunaan teknologi AI memandangkan kementeriannya telah mengupayakan pusat kegiatan guru selain terdapat pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

"Sebab satu sekolah, kedua sebab kita telah mengupayakan pusat kegiatan guru, ketiga adalah pelantar DELIMa yang mesti digunakan sepenuhnya oleh murid dan guru. Jadi pelantar DELIMa ini sewajarnya menjadi medium utama untuk anak-anak kita meningkatkan keupayaan digital dan inovasi mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Perlis merekodkan antara negeri agak tinggi pelajar menyokong pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) iaitu mencapai 60 peratus tahun lepas.

"...dan tahun ini kita masih lagi mengharapkan Perlis mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang mencapai 60 peratus dalam konteks pendidikan STEM negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina yang melakukan lawatan kerja selama dua hari di Perlis bermula semalam, turut menghadiri Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di Arau semalam yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!