Sekolah satu sesi: KPM pastikan sumber guru mencukupi

Kah Woh (tengah) di Karnival Jom Masuk IPTA di SJKC Yuh Hua, Ipoh pada Ahad.
Kah Woh (tengah) di Karnival Jom Masuk IPTA di SJKC Yuh Hua, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan setiap sekolah mempunyai tenaga guru mencukupi sebelum melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu penting bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dengan sesi pembelajaran melibatkan pelajar yang ramai.

"Bagi pihak KPM, kita akan memastikan sumber guru itu mencukupi dan beban guru adalah di bawah kawalan," katanya menjawab persoalan kekangan yang mungkin dihadapi kalangan guru dalam melaksanakan sistem satu sesi di setiap sekolah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Masuk IPTA di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuh Hua di sini pada Ahad.

Kah Woh ketika berucap merasmikan Karnival Jom Masuk IPTA di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuh Hua, Ipoh pada Ahad.
Kah Woh ketika berucap merasmikan Karnival Jom Masuk IPTA di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuh Hua, Ipoh pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Ahli Parlimen Taiping itu berkata, dalam tempoh dua tahun ini, usaha awal telah digerakkan bagi memenuhi keperluan itu antaranya pengambilan calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dan pengambilan graduan bukan pendidikan secara kontrak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Katanya, pada 2023 pengambilan graduan bukan pendidikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara kontrak perkhidmatan bagi aliran sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan adalah seramai 16,620 orang, sekolah teknikal (606), SJKC (249) dan SJKT (115).

Artikel Berkaitan:

"KPM sebelum ini telah mengumumkan beberapa interversi jangka panjang dan pendek bagi menyelesaikan isu kepadatan sekolah iaitu membina 26 sekolah baharu dan penggunaan kabin di sekolah.

"Jadi komitmen berterusan kerajaan adalah untuk memastikan unjuran keperluan dan penempatan guru di sekolah dipenuhi," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan tumpuan KPM kini menjadikan semua sekolah di seluruh negara mempunyai sistem satu sesi.

Bagaimanapun terdapat beberapa perkara memerlukan perancangan dan penyelesaian rapi termasuklah aspek sekolah padat dan tidak mencukupi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!