[VIDEO] 'Saya tak pernah goda Ebit Lew' -Pengadu

A
A
A

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia tiada hubungan dengan pendakwah terbabit malah menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk menggodanya.

Pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan memberitahu mahkamah dalam keterangannya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dalam sesi pemeriksaan utama beliau.

Zahida meminta saksi menjelaskan apa hubungan saksi dengan Ebit Lew sepanjang tempoh 4 Mac hingga 11 Julai 2021.

Ebit Lew (tengah) diiringi peguamnya, Ram (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew (tengah) diiringi peguamnya, Ram (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom.

"Saya cari Ebit Lew untuk tujuan menyelesaikan masalah kekeluargaan saya. Selepas itu Ebit Lew menunjukkan dia mengambil berat dengan WhatsApp saya selalu tanya bagaimana hubungan dengan keluarga okay atau tidak.

"Selepas itu dia cuba memuji-muji saya kemudian dia bagi kata-kata lucah. Saya sedar Ebit Lew mempunyai nafsu seks yang tidak normal sebab dia minta tengok VC (panggilan video) dia beronani, bagi tengok gambar kemaluan, bagi kata-kata lucah lepas itu minta saya bagi gambar kepada beliau," kata saksi di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Jumaat.

Dalam keterangannya, wanita itu bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak menyekat nombor telefon selain melayan permintaan pendakwah terbabit.

"Silap saya juga tidak terus 'block' malah saya cuba ambil peranan untuk menasihatkan beliau supaya menjalani kehidupan dia bersama isteri dia yang bagi saya dia seorang yang baik dengan anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pernah goda Ebit dan saya pun tidak pernah terfikir untuk menjalinkan hubungan dengan Ebit apatah lagi untuk tujuan seks.

"Saya masih juga layan mesej-mesej beliau sehingga ada ketika saya ikut kehendak beliau dengan meminta gambar saya. Saya jadi rosak sebab Ebit, dari situ saya berfikir saya adalah bukan orang yang layak untuk nasihatkan beliau," katanya.

Saksi yang mulai sebak dalam keterangannya turut berkata, disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk menyekat nombor telefon terbabit selain mengadu pada seorang ustazah yang dipercayainya.

"Kami cuba buat solat hajat, lepas itu kami berdoa supaya saya keluar dari masalah ini. Saya rasa saya perlu keluar, tidak perlu lagi hubungi Ebit Lew sebab dia bukan membantu saya tetapi dia merosakkan saya," katanya.

Jelasnya lagi, laporan polis yang dibuatnya bukan untuk memfitnah atau tidak mendapat wang daripada pendakwah tersebut.

"Kami fikir perlu lapor supaya tidak ada mangsa lain yang rosak oleh Ebit Lew. Saya ada baca di media orang cakap saya lapor sebab tidak dapat duit dari Ebit Lew.

"Tidak, saya tidak pernah dapat duit dari Ebit Lew, pendapatan kami cukup untuk tampung kehidupan kami yang sederhana.

"Saya dikecam, cakap saya fitnah Ebit Lew, saya tidak ada keperluan dan saya tidak fitnah dia. Apa yang dia buat itu memang betul dan dia ramai mangsa pun betul sebab dia mengaku kepada saya pada 29 Julai 2021," katanya.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!