Khidmat kaunseling bantu dua keluarga serangan Balai Polis Ulu Tiram

Noraini (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bidor pada Rabu.
Noraini (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bidor pada Rabu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Khidmat kaunseling perlu bagi membantu menenangkan keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kehilangan anak ketika bertugas mempertahankan diri dan balai polis itu sudah tentu memberi kesan emosi kepada keluarga.

"Saya tengok emosi mereka masih terkawal tetapi sedih, rasa kehilangan itu ada hinggakan mereka buat keputusan untuk tengok balik tempat kejadian malah keluarga mangsa di Gambang juga ingin datang ke sini (Bidor) dan meminta menyampaikan salam.

"Walaupun mereka kata okey, sembunyikan perasaan dengan bergurau dan berjenaka tetapi hati manusia, kita pun tak tahu.

"Semasa lawatan sebentar tadi ibu mangsa turut bercerita kadang-kadang dia teringatkan arwah ketika duduk sendirian," katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di Kampung Poh Tambahan dekat Bidor pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Menurut Noraini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghubungi kedua-dua keluarga terlibat bagi menawarkan khidmat tersebut.

"Kami dimaklumkan waktu sekarang ini sekolah juga ada menyediakan kaunseling, jadi kita akan susul kemudian dan akan melaksanakan kaunseling ini untuk membantu menenangkan keluarga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Noraini (dua dari kanan) bersama Salbiah (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bidor pada Rabu.
Noraini (dua dari kanan) bersama Salbiah (kanan) menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bidor pada Rabu.

"Kami merasakan sesi kaunseling itu perlu sehinggalah mereka dah cukup bersedia untuk tidak menerima kaunseling itu lagi," katanya.

Pada kunjungan itu, Noraini menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara dan barangan keperluan kepada waris kedua-dua mangsa berkenaan.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh manakala jenazah Allahyarham Muhamad Syafiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, Pahang, Sabtu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!