X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi pembenihan awan di Kedah, Pulau Pinang

A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melancarkan operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengatasi masalah bekalan air yang terjejas di sekitar kawasan takungan air di empangan untuk kegunaan domestik dan pertanian, di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, operasi itu dilakukan di enam kawasan sasaran di Kedah serta Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan hujan di hampir kesemua kawasan tumpuan, iaitu Empangan Muda, Pedu dan Teluk Bahang serta kawasan sawah padi di Kuala Nerang dan Kampung Perupok, kecuali sekitar kawasan Empangan Ahning, Kedah.

“Tujuan utama OPA kali ini ialah untuk meningkatkan turunan hujan di kawasan-kawasan tadahan empangan di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini berikutan negara kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut hingga hujung bulan Mac mengakibatkan taburan hujan rendah di beberapa tempat di negeri utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak sehingga menjejaskan takungan air di empangan untuk kegunaan domestik serta pertanian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, MetMalaysia sentiasa memantau keadaan atmosfera khususnya di kawasan tadahan empangan di Kedah dan Pulau Pinang bagi menentukan OPA untuk beberapa hari akan datang.

Sepanjang musim panas dan kering ini juga, orang ramai dinasihatkan supaya menjimatkan penggunaan air, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai amaran cuaca boleh layari laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia. - Bernama