Anak kurang didikan agama, pergaulan bebas faktor terjebak zina

ANAK-ANAK lahir dalam keadaan suci bersih, ibu bapalah yang mencorak hala tuju sebelum mereka meningkat dewasa. Foto CANVA
ANAK-ANAK lahir dalam keadaan suci bersih, ibu bapalah yang mencorak hala tuju sebelum mereka meningkat dewasa. Foto CANVA
A
A
A

PUNCA utama kepada peningkatan bilangan anak tak sah taraf atau anak zina adalah kurangnya didikan agama yang ditanam dalam kalangan anak-anak sejak dari kecil.

Mereka yang membesar dengan kurangnya didikan agama ini kemudiannya meningkat dewasa dan hidup dengan bebasnya tanpa mengira panduan agama.

Justeru mereka mudah terpengaruh dengan unsur negatif dan mudah terjebak dengan maksiat yang banyak terhidang di hadapan mata, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di ibu kota.

Oleh sebab itu, didikan agama daripada ibu bapa sejak anak-anak kecil sangat ditekankan dan dititikberatkan dalam Islam.

Mengulas mengenai isu ini, Sinar Islam Plus berkesempatan menemu bual Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman.

PROF MADYA DR ZAIZUL
PROF MADYA DR ZAIZUL

Faktor penyumbang peningkatan anak tak sah taraf

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anak-anak yang kurang didikan agama dan kasih sayang inilah yang kemudiannya menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan bilangan anak tak sah taraf.

“Berdasarkan pemerhatian saya terhadap kajian-kajian akademik, faktor ibu bapa yang sibuk bekerja terutamanya daripada golongan bawahan dalam mencari sesuap nasi untuk santapan sehari-hari menyebabkan terabainya anak-anak mereka.

“Mereka yang sibuk ini terpaksa menyerahkan bulat-bulat didikan kepada guru di sekolah menyebabkan ada sebahagian anak-anak yang tercicir dalam pendidikan,” jelasnya.

Hurainya lagi, selain kurangnya didikan agama, anak-anak juga terjebak dengan pergaulan bebas di tempat tinggal mereka di mana ibu bapa mereka hanya mampu menyewa rumah flat satu atau dua bilik.

“Lebih parah lagi apabila ibu bapa hanya mampu menyewa bilik akibat kesempitan wang dan mereka tinggal pula bersama orang asing dalam satu rumah yang menyumbangkan pergaulan bebas.

“Ditambah pula faktor internet tanpa batasan dan tiada kawalan daripada ibu bapa yang sibuk bekerja menyebabkan anak-anak ini mudah mengakses bahan-bahan lucah sebelum menjadi ketagih dan mengaplikasikannya bersama rakan-rakan lain.

“Itulah antara punca-punca kepada peningkatan lahirnya anak tak sah taraf yang semakin membimbangkan sekarang ini,” hurainya.

Menjelaskan lebih lanjut, Zaizul berkata, anak-anak sebenarnya adalah suci seperti kain putih sebagaimana hadis Rasulullah SAW:

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Oleh sebab itu katanya lagi, kita sebagai ibu bapalah yang mencorakkan hala tuju anak-anak dan bukannya membiarkan mereka tanpa didikan dan kawalan.

Tanamkan sikap tanggungjawab, jauhi zina

Bagi memperbetulkan keadaan yang makin meruncing, pensyarah itu menyeru ibu bapa untuk kembali semula kepada panduan agama seperti yang digariskan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Beliau membawakan satu hadis Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“Sesibuk mana ibu bapa dalam mencari rezeki, jangan dilupakan tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak di rumah.

“Tanamkan sikap bertanggungjawab dalam diri anak-anak sejak dari kecil dan ajarkan mereka mengenai pergaulan yang dibenarkan dalam Islam.

BAWALAH anak-anak ke masjid sejak dari kecil untuk menanam kecintaan mereka terhadap rumah ALLAH itu. Foto CANVA
BAWALAH anak-anak ke masjid sejak dari kecil untuk menanam kecintaan mereka terhadap rumah ALLAH itu. Foto CANVA

“Perintah ALLAH SWT iaitu jangan menghampiri zina perlu diajar serta ditekankan agar mereka sedar dan faham ia adalah satu perintah yang amat besar dalam menjaga nasab serta keturunan mereka,” jelasnya.

Hurainya lagi, bapa juga perlulah berperanan membawa anak-anak mereka ke masjid sejak mereka kecil untuk menanamkan kecintaan mereka kepada rumah ALLAH itu sekali gus menjadi insan yang mencintai solat sebagai tiang agama.

“Masjid juga perlulah menjadi mesra kanak-kanak agar kedatangan mereka ke sana diraikan.

“Peranan dan tanggungjawab kerajaan juga perlu dimainkan dengan memberi perhatian kepada golongan bawahan ini. Bantulah mereka dari pelbagai sudut agar mereka juga dapat menjalani kehidupan ini dengan mendidik anak-anak dengan baik,” ujarnya.

ANEKDOT: Mahram bagi anak tidak sah taraf

Soalan: Siapakah mahram bagi anak tidak sah taraf? Dan bagaimana hubungannya dengan bapa asalnya?

Jawapan: Mahram anak tak sah taraf ialah emaknya dan keluarga sebelah emaknya seperti emak kepada emaknya, adik-beradik emaknya dan lain-lain. Adik-beradiknya pula dikira sebagai adik-beradik seibu.

Oleh itu, mereka dianggap juga sebagai mahram bagi anak tidak sah taraf tersebut. Akan tetapi, dengan bapa asalnya, maka dikira hukum yang lain.

Mazhab Syafie memberi hukum yang menggambarkan betapa tidak ada hubungan antara bapa tidak sah taraf dan anak tidak sah taraf.

DIDIKAN agama yang diberikan sejak kecil membentuk peribadi anak-anak yang bertanggungjawab dan taat kepada perintah agama. Foto CANVA
DIDIKAN agama yang diberikan sejak kecil membentuk peribadi anak-anak yang bertanggungjawab dan taat kepada perintah agama. Foto CANVA

Ini juga sebagaimana diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang menyebut: Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Oleh itu mereka tidak boleh mewarisi pusaka, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

***Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.