Tujuh ditahan, pukul pelajar enggan sertai kumpulan haram

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tujuh lelaki termasuk pelajar sekolah menengah berusia 16 hingga 18 tahun kerana disyaki terlibat memukul pelajar yang enggan menyertai kumpulan haram.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemuanya ditahan menerusi dua tangkapan pada Jumaat dan Ahad oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Kata beliau, dalam kejadian pertama pada jam 12 tengah hari 16 Mei lalu, pengadu yang juga pelajar berusia 13 tahun telah ditahan oleh sekumpulan lelaki yang merupakan pelajar dari sekolah sama.

"Kejadian berlaku kerana perselisihan faham mengenai seorang rakan pengadu yang dicari tidak dapat ditemui dan pengadu telah disoal siasat sehingga dipukul dua suspek daripada kumpulan tersebut menggunakan kaki, tangan serta senjata sebatang besi.

"Dalam kejadian ini, pengadu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kejadian kedua, katanya, satu laporan polis diterima daripada pengadu berumur 14 tahun dengan mendakwa didatangi sekumpulan lelaki yang mengajaknya menyertai kumpulan haram pada jam 1 petang, 17 Mei lalu.

Menurut beliau, kejadian berlaku semasa mangsa sedang makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran di kawasan Bandar Mahkota Cheras.

Jelas beliau, ekoran menolak menyertai kumpulan terbabit, mangsa dan rakannya telah dipukul tiga lelaki dengan kerusi plastik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan mangsa mengalami kecederaan di kepala serta tangan.

Beliau berkata, dua kertas siasatan telah dibuka secara berasingan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 dan Inspektor Raziman Rasid (019-4565502).

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan salah satu kertas siasatan melibatkan kes ini telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah mendapat arahan tuduh bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan ke atas dua orang suspek yang telah ditangkap.

"Suspek kes tersebut telah didakwa pada Khamis di Mahkamah Majistret Kajang, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan lanjut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!