LRT laluan Kelana Jaya tergendala akibat gangguan suis

Operasi perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis. Foto hiasan
Operasi perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan, gangguan berkenaan mengakibatkan semua tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform.

“Kerja baik pulih gangguan suis landasan sedang dijalankan. Tren dipandu secara manual di Stesen Kelana Jaya ke Taman Bahagia.

“Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.

Susulan itu, tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengguna LRT Laluan Kelana Jaya menzahirkan kekecewaan kerana terpaksa berdepan dengan kelewatan pada waktu puncak.

Menurut pengguna media sosial, X, @heythisismira berkata, masalah gangguan suis ketika waktu sibuk di LRT Laluan Kelana Jaya benar-benar tidak boleh diterima.

“Saya menerima permohonan maaf daripada mereka (Rapid Rail), tetapi adakah pihak anda akan memberi pampasan kepada pengguna yang kehilangan masa?

“Keadaan itu membuatkan saya lewat pergi ke tempat kerja daripada kebiasaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, @dklittlestar berkata, LRT Lauan Kelana Jaya mengambil masa selama 35 minit untuk melalui dua stesen.

"Saya bergerak dari Stesen Subang Jaya pada jam 8.25 pagi dan kini sudah jam 9 pagi, baru sahaja tiba di Stesen Ara Damansara. 35 minit untuk melalui dua stesen," ujarnya.

Dalam perkembangan terkini, Rapid Rail memuat naik kenyataan terbaharu yang memaklumkan bahawa jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kembali normal pada jam 9.06 pagi.

Kata kenyataan itu, lalu berkenaan mengalami kelewatan jadual perkhidmatan bermula jam 6.54 pagi.

“Ia juga menyebabkan tren-tren yang menghala ke arah Stesen Gombak dan Putra Heights bergerak lebih perlahan dan berhenti lama di platform.

“Anggota Polis Bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform dan kawasan ruang legar stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang,” jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!