Malaysia cipta kejutan tewaskan Thailand, muncul juara acara double

Noraizat (kiri) dan Aidil Aiman menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia dalam acara double pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini.
Noraizat (kiri) dan Aidil Aiman menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia dalam acara double pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini.
A
A
A

MALAYSIA mencipta kejutan apabila muncul juara acara double Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas menundukkan Thailand dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan pada Rabu.

Mempertaruhkan gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin, pasukan negara memulakan set pertama dengan keyakinan tinggi dibantu sorakan ribuan penyokong di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sebaliknya, duo Thailand, Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut yang agak goyang pada set pertama dengan beberapa servis tersangkut di jaring menyaksikan mereka ketinggalan terutama pada tujuh mata pertama.

Namun, Thailand bangkit mengejar sebelum Aidil Aiman dan Noraizat mengesahkan kemenangan set pertama dengan kiraan mata 17-16.

Set kedua menyaksikan gandingan negara mengekalkan momentum cemerlang untuk terus memberikan tekanan kepada Thailand pada ketika lawan mereka memerlukan kemenangan untuk mengheret aksi ke set ketiga.

Persembahan bertenaga Aidil Aiman dan Norizat memastikan skuad negara berjaya meraih kemenangan bersejarah 15-13.

Malaysia berpeluang menambah satu lagi kejuaraan menerusi perlawanan akhir acara regu yang turut akan bertemu Thailand sebentar lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: