Berselindung di sebalik kondominium sasar tipu mangsa dari UK, China

Antara warga asing yang ditahan polis dalam serbuan di unit kondominium di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, pada Selasa. Gambar kecil: Noor Dellhan
Antara warga asing yang ditahan polis dalam serbuan di unit kondominium di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, pada Selasa. Gambar kecil: Noor Dellhan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian yang menjadikan unit kondominium di Jalan Ceylon di sini sebagai pusat panggilan sejak sebulan lalu berjaya dibongkar polis, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan di dua unit kondominium bermula jam 8 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, seramai 13 warga asing termasuk dua wanita berusia 23 hingga 38 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

"Polis merampas tujuh set komputer riba, 21 telefon bimbit dan satu modem.

"Sindiket yang beroperasi selama hampir sebulan itu dipercayai menyasarkan mangsa dari United Kingdom dan China," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Antara rampasan barang kes dalam serbuan di unit kondominium di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Antara rampasan barang kes dalam serbuan di unit kondominium di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Tegas Noor Dellhan, kesemua yang ditahan direman selama tiga hari hingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis menggesa orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.