Gudang tiada lesen kena serbu, beras RM2.1 juta dirampas

Penguat kuasa KPB memeriksa sebuah gudang tidak berlesen dalam operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 di Sibu, Sarawak.
Penguat kuasa KPB memeriksa sebuah gudang tidak berlesen dalam operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 di Sibu, Sarawak.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merampas sebanyak 645.75 tan metrik pelbagai gred beras termasuk beras putih import (BPI) dianggarkan bernilai RM2.1 juta di sebuah gudang tidak berlesen di Sibu, Sarawak.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa KPB bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melalui operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 yang dijalankan di sekitar daerah itu pada 15 hingga 16 Mei lalu.

KPKM menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

"KPB telah menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 PU (A) 624.

"Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat itu sama ada terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beras yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang tidak berlesen di Sibu, Sarawak dianggarkan bernilai RM2.1 juta.
Beras yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang tidak berlesen di Sibu, Sarawak dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

Mulai 5 Oktober 2023, kerajaan telah bersetuju memberikan subsidi BPI sebanyak RM950 per tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit adalah tidak melebihi RM31 per kampit bagi 10 kilogram.

KPKM menegaskan, tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara dan mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara iaitu MCBA, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagagan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysi) dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan.

"Ia bagi mengekang pihak yang cuba menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras tersebut dari sempadan negara.

"KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya," ujarnya.

Berikutan itu, KPKM turut meminta orang awam menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi mengenai sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau boleh menghubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!