Polis bebaskan dua suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tanpa syarat

Balai Polis Ulu Tiram
Balai Polis Ulu Tiram
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua suspek yang ditahan berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, minggu lalu, dibebaskan tanpa syarat oleh Polis Johor, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, kedua-dua suspek yang merupakan pelajar lelaki di sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan seorang pelajar perempuan di sebuah institusi latihan berusia 21 tahun itu dibebaskan setelah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

"Polis Johor mengesahkan kedua-dua suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, dibebaskan tanpa syarat.

"Kedua-dua suspek ditahan pada 17 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, siasatan terhadap lima sekeluarga masih diteruskan kerana tempoh tahanan reman terhadap kesemua mereka tamat 24 Mei (Jumaat)," katanya.

Untuk rekod, dalam kejadian pada jam 2.45 pagi 17 Mei 2024 itu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, parah selepas ditetak dan tembak suspek.

Dalam masa sama, polis turut menasihatkan orang awam tidak membuat spekulasi, memanipulasi fakta atau membuat sebarang komen di media sosial berkenaan insiden ini sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menganggu siasatan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!