Lelaki pukul ibu bertubi-tubi di muka, serang dengan pisau

Polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul ibu dan adik kandungnya sehingga cedera menggunakan pisau dan spanar dalam kejadian di Kampung Bongor di sini pada Selasa. Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul ibu dan adik kandungnya sehingga cedera menggunakan pisau dan spanar dalam kejadian di Kampung Bongor di sini pada Selasa. Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul ibu dan adik kandungnya sehingga cedera menggunakan pisau dan spanar dalam kejadian di Kampung Bongor di sini pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan dibuat mangsa pada jam 7.50 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 54 dan 15 tahun itu datang ke balai polis membuat aduan dalam keadaan berdarah di bahagian kepala dan tangan akibat dipukul menggunakan senjata tajam.

"Hasil siasatan mendapati suspek bertindak memukul ibunya bertubi-tubi di bahagian muka dan atas badan ketika wanita itu sedang mendirikan solat awal pagi tadi.

"Adik lelaki suspek yang melihat kejadian itu cuba membantu, namun turut dipukul menggunakan spanar dan pisau pemotong getah," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan luar kawalan itu mengakibatkan wanita terbabit mengalami lebam dan luka hirisan pada bahagian atas kepala, pipi serta sekitar bahu dan tangan.

Katanya, remaja itu pula mengalami kecederaan luka hirisan pada bahagian betis kaki, pergelangan tangan kanan dan luka calar pada leher.

"Hasil lawatan di tempat kejadian mendapati terdapat tompokan darah di sekitar atas lantai rumah suspek.

Artikel Berkaitan:

"Suspek sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Taiping, namun dibebaskan semula kerana tidak mempunyai sebarang masalah mental.

"Punca kejadian hari ini kerana suspek dikatakan telah berhalusinasi hingga bertindak mencederakan mangsa," katanya.

Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek tinggal bersama ibu dan adiknya di rumah terbabit.

"Polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek esok bagi siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!