20 hari untuk memuktamad pegangan ekuiti dalam DNB

Fahmi Foto Bernama
Fahmi Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Lembaga Pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) diberikan masa 20 hari untuk memuktamad sebarang keputusan berkaitan pegangan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa mesyuarat pertama lembaga pengarah bagi DNB telah diadakan pada Isnin yang terdiri daripada wakil lima syarikat telco.

"Salah satu syarat yang telah dikenakan pada syarikat telco yang ingin terlibat dalam rangkaian kedua ialah mereka wajib melengkapkan pegangan ekuiti perjanjian langganan saham (SSA) dalam DNB," katanya menerusi sidang akhbar pada Selasa.

Ujar beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengumumkan proses tender yang akan membolehkan syarikat terlibat dalam bidaan rangkaian kedua memasukkan bidaan masing-masing.

"Ia akan diumumkan dalam tempoh masa tidak terlalu lama dari sekarang, tetapi pra syaratnya adalah hanya syarikat yang telah melengkapkan SSA boleh memasukkan tender.

"Jadi inilah langkah seterusnya dan telah diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri pada hari ini," jelas Fahmi.

Katanya, keputusan hala tuju bagi rangkaian 5G yang dibuat adalah susulan kepada keputusan yang bertarikh 3 Mei dan 23 Ogos tahun lalu yang menyaksikan kerajaan bersetuju pelaksanaan rangkaian 5G akan mula beralih dari satu kepada dwirangkaian.

Ujar beliau, sehingga 30 April, capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk telah mencecah 81.5 peratus, manakala dari segi penerimagunaan untuk rangkaian 5G telah mencapai 39.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Ini menyaksikan peningkatan 3.8 peratus berbanding hujung bulan Mac tahun ini.

"Ia bermaksud secara keseluruhan setakat hujung April terdapat 13.2 juta akaun 5G dalam negara kita," katanya sambil menyifatkan ia sebagai satu pencapaian positif.

Tambah beliau, penerimaagunaan 5G bagi kategori individu telah mencecah 12.78 juta pengguna setakat April tahun ini manakala bagi syarikat enterprise pula adalah 422,609 akaun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!