Martin catat masa terpantas hari pertama ujian pramusim 2024

Martin ketika beraksi pada Ujian Pra Musim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Petronas hari ini. Foto Bernama
Martin ketika beraksi pada Ujian Pra Musim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Petronas hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA pasukan Prima Pramac Racing, Jorge Martin mencatat masa sepusingan terpantas pada hari pembukaan ujian musim sejuk pramusim MotoGP 2024, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun itu, melengkapkan 22 daripada 59 pusingan di litar itu dengan masa terbaik satu pusingan satu minit 57.951 saat (s).

Mengulas mengenai sesi hari ini, Martin berkata catatan hari ini hanyalah satu permulaan, dan akan terus bekerja keras pada keseluruhan musim tahun ini.

“Saya tidak terlalu menumpukan kepada masa sepusingan. Saya lebih fokus untuk memahami enjin yang mana yang lebih baik, kerana kami (dengan pasukan) memfokuskan kepada penggunaan enjin baharu.

“Saya rasa kami melakukan sesuatu yang positif, tetapi juga ada yang negatif, jadi kami perlu terus berusaha. Tetapi ya, saya fikir secara keseluruhan ia merupakan hari yang baik, dan saya melakukan banyak pusingan, jadi saya gembira dan berasa bersedia,” katanya.

Sementara itu, pelumba Red Bull GASGAS Tech3, Pedro Acosta mencatatkan masa kedua terpantas dengan masa 1:58.220s, diikuti Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha MotoGP yang mencatatkan ketiga terpantas 1:58.228s pada pusingan ke-36.

Sesi hari ini bagaimanapun terganggu dengan situasi bendera merah, berikutan insiden berasingan membabitkan penyandang juara Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team dan pelumba Trackhouse Racing, Raul Fernandez.

Sesi ujian Sepang itu akan disambung semula 10 pagi esok hingga 6 petang dan akan berakhir pada Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan: