Pegawai imigresen didakwa 10 pertuduhan terima rasuah

Pegawai Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 10 pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM7,600 pada 2018 hingga 2022.
Pegawai Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 10 pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM7,600 pada 2018 hingga 2022.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 10 pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM7,600 pada 2018 hingga 2022.

Tertuduh, Razali Ahmad, 41, yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Imigresen KP 32 di Unit Persenjataan, Bahagian Penguatkuasaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 dan Gred KP32 di Bahagian Operasi,Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang daripada seorang lelaki yang mana mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan tugas rasminya ketika itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 25 Disember 2018 hingga 7 Jun 2022 di sebuah bank cawangan di Nilai bernilai RM500 hingga RM1,000 melalui pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi 10 pertuduhan tersebut.

Rifah Izzati turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam yang mewakili tertuduh, Low Carmen kemudian memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya hanya mempunyai anggaran pendapatan kasar RM4,200 sebulan dan perlu menanggung perbelanjaan keluarga yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Carmen, sebagai pegawai yang bertugas di Unit Persenjataan tertuduh perlu ke luar negara untuk menguji peluru dua ke tiga kali setahun, oleh itu beliau memerlukan pasport.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap Sabtu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 23 Julai depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!