MAPUM usaha bantu lengkapkan fasiliti universiti

Hilman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada universiti terlibat sempena Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) 2024 pada Isnin.
Hilman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada universiti terlibat sempena Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) 2024 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Naik taraf kemudahan internet, penggunaan peralatan elektronik dan waktu keluar masuk asrama antara aduan yang diterima oleh Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam (MAPUM) melibatkan mahasiswa di negara ini.

Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, bagaimanapun semua aduan berkenaan bergantung kepada keadaan universiti dan mahasiswa terbabit.

Menurut beliau, tidak semua kemudahan berkenaan diperlukan di universiti kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPTM) berusaha memastikan fasiliti yang diperlukan dipenuhi untuk keselesaan mahasiswa.

"Aduan itu bersifat subjektif tetapi pihak universiti sentiasa melihat perkara itu dari aspek yang perlu dititikberatkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) 2024 di sini pada Isnin.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar KPTM, Hirman Awang itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Mohammad Ismail.

Dalam pada itu, Mohd Sazili tidak menafikan ada kolej kediaman yang terpaksa berdepan masalah air membabitkan beberapa negeri.

Bagaimanapun kata beliau, masalah itu bergantung pada keadaan sekeliling yang turut memberi kesan kepada mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

"Perancangan dibuat dari masa ke masa untuk menghadapi kekangan berkenaan kerana turut membimbangkan ibu bapa.

"Pihak universiti biasanya akan membuat perbincangan dengan wakil kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah itu," katanya lagi.

Sementara itu, Hirman memberitahu, KPTM sentiasa menyokong sebarang usaha memperkasakan pengurusan asrama atau kolej kediaman.

"Seminar seperti ini banyak melibatkan amalan terbaik dan SPARK antara usaha untuk menangani masalah mahasiswa di asrama," katanya.

Jelas beliau, sehingga 31 Disember, purata keseluruhan yang tinggal di kolej kediaman ialah 57 peratus membabitkan mahasiswa ijazah sarjana muda di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!