RM14 juta diperlukan naik taraf klinik kerajaan

Tian Soon dan Raven (tengah) melihat persembahan tarian singa dalam Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama, Johor Bahru pada Sabtu
Tian Soon dan Raven (tengah) melihat persembahan tarian singa dalam Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama, Johor Bahru pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peruntukan kira-kira RM14 juta diperlukan untuk menaik taraf klinik-klinik kerajaan yang berada dalam keadaan daif dan uzur di Johor dalam tahun ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan akan mendapat perincian berkenaan klinik desa dan klinik kesihatan (KK) terbabit.

"Tahun lepas kita naik taraf 29 klilnik dengan kos hampir RM13 juta dan tahun ini kita akan fokus 30 klinik yang daif, ada yang sudah beroperasi sejak tahun 1960-an atau 1970-an lagi.

"Sehingga hari ini masih beroperasi, bayangkan dah lebih 40, 50 tahun pengopersian klinik-klinik tersebut dan inilah masanya untuk menyalurkan peruntukan (termasuk) menaik taraf fasiliti sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama pada Sabtu.

Turut hadir Exco Perpaduan Warisan dan Budaya, K Raven Kumar.

Tian Soon berkata, pihaknya akan mengutamakan keperluan bangunan klinik terlebih dahulu dan selebihnya jika ada keperluan akan menaik taraf kuaters kakitangan pula.

Mengenai perkembangan Hospital Sultanah Aminah II (HSA II), beliau berkata, setakat ini tapak pembinaannya sudah dikenal pasti dan pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) yang memiliki tanah tersebut sudah pun memberikan persetujuan untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang sampailah masa untuk pihak Kementerian Kesihatan (KKM) berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Menteri Ekonomi untuk dapatkan bajet dan seterusnya bincang pelaksanaan HSA II," katanya.

Ketika ditanya mengenai hantaran tular di TikTok yang mendakwa Klinik Desa Bakar Batu kelihatan seperti ‘berhantu’, Tian Soon berkata, struktur bangunan yang dirakam dalam media sosial itu merupakan struktur bangunan kuarters yang uzur dan telah lama dikosongkan sejak 2011.

Tambahnya, hantaran tersebut adalah mengelirukan berikutan klinik terbabit yang berada bersebelahan kuarters itu telah dinaik taraf kepada bangunan batu pada 2010, yang mana sebelum ini menggunakan struktur kayu.

Beliau menjelaskan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah mengemukakan permohonan kelulusan syor roboh dan bina baru kuarters klinik tersebut kepada KKM dan perakuan pelupusan bangunan telah dilluluskan pada tahun lepas.

“Kita akan mengikuti perkembangan supaya Jabatan Kesihatan Negeri Johor dapat membuat permohonan dengan KKM supaya dapat peruntukan bagi merobohkan dan membina kuartes baharu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28