Zii Jia dapat tonik tambahan menjelang Malaysia Masters

Zii Jia merangkul gelaran pertama musim ini setelah mengungguli Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi
Zii Jia merangkul gelaran pertama musim ini setelah mengungguli Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi
A
A
A

GELARAN juara Terbuka Thailand 2024 menjadi dos penggalak buat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menjelang Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula Selasa ini.

Malah gelaran pertama pada musim ini meningkatkan lagi keyakinan pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu, lebih-lebih lagi apabila bakal beraksi di hadapan penonton sendiri.

"Ia (juara Terbuka Thailand) akan meningkatkan keyakinan saya, kejohanan seterusnya di laman sendiri.

"Jadi saya harap akan dapat kekalkan momentum dan keyakinan ini," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Ahad.

Zii Jia yang sudah meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-11, 21-10 dalam tempoh 34 minit untuk muncul juara Terbuka Thailand buat kali kedua selepas mengunggulinya pada edisi 2022.

Pemain berusia 26 tahun itu juga mengakui kejohanan di Bangkok tersebut merupakan prestasi terbaiknya setakat ini.

"Ini antara aksi terbaik saya. Jadi saya harap dapat kekalkan momentum ini untuk kejohanan akan datang dan dapat keputusan terbaik di laman sendiri.

"Saya nikmati aksi hari ini (Ahad). Fokus kutip mata satu demi satu. Saya harap cukup rehat untuk saingan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Prestasi Zii Jia pada Malaysia Masters yang berstatus Super 500 sejak tiga musim lalu tidak menyebelahi anak buah Wong Tat Meng itu apabila tersingkir pada pusingan kedua kepada Lin Chun Yi dari Taiwan tahun lalu.

Dia bagaimanapun tidak menyertai kejohanan tersebut pada 2021, namun pada 2020 berjaya melayakkan diri ke separuh akhir sebelum disekat pemain Jepun yang muncul juara pada ketika itu, Kento Momota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!