Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia tewaskan China acara regu

Aksi pemain Malaysia selepas menewaskan pasukan China dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu. Foto Bernama
Aksi pemain Malaysia selepas menewaskan pasukan China dalam kategori regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA memulakan aksi Kumpulan B acara regu kategori premier Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan China di Stadium Titiwangsa di sini pada Sabtu.

Gandingan negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama 15-6.

Pada set kedua, Malaysia membuat dua pertukaran dengan Muhammad Shahalril Aiman Halim menggantikan Mohamad Azlan dan Muhammad Haziq Hairul Nizam menggantikan Mohammad Syahir sebelum menundukkan trio China, dibarisi Ai Liang, Qin Hao dan Fan Xu, 15-7.

Malaysia akan turun pada perlawanan kedua Kumpulan B menentang Brunei esok.

Sementara itu, Farhan ketika ditemui pemberita menyifatkan kemenangan berdepan China tidak mudah memandangkan Malaysia masih belum menemui rentak permainan seperti yang diinginkan.

"Insya-Allah untuk perlawanan seterusnya kami akan tingkatkan lagi permainan,” katanya.

Turut mencatat kemenangan pada perlawanan pertama kumpulan hari ini, kuasa besar sepak takraw, Thailand yang menjinakkan Vietnam, 15-7, 15-8 dan akan bertemu Indonesia pada perlawanan kedua Kumpulan A.

Dalam pada itu India menewaskan Jepun 15-10, 15-7 dan akan bertemu Myanmar di perlawanan kedua Kumpulan D.

Artikel Berkaitan:

Manakala Korea Selatan yang menewaskan Filipina 15-12, 8-15, 15-11 akan bertemu Singapura di perlawanan kedua Kumpulan C.

Kesemua perlawanan kedua acara regu peringkat kumpulan akan berlangsung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!