Filem aksi 'The Experts' angkat tema kekeluargaan

Unsur kekeluargaan menjadi taruhan filem aksi bertemakan rompakan 'The Experts' bagi membezakannya daripada filem bergenre sama yang pernah dibawa ke layar perak sebelum ini.
Unsur kekeluargaan menjadi taruhan filem aksi bertemakan rompakan 'The Experts' bagi membezakannya daripada filem bergenre sama yang pernah dibawa ke layar perak sebelum ini.
A
A
A

UNSUR kekeluargaan menjadi taruhan filem aksi bertemakan rompakan 'The Experts' bagi membezakannya daripada filem bergenre sama yang pernah dibawa ke layar perak sebelum ini.

Penerbit dan penulis skripnya, Joel Soh, beliau yakin elemen drama dalam filem itu yang bakal menemui penonton Khamis depan (23 Mei), mampu menjadikan jalan cerita lebih dekat di hati penonton selain mengimbangi unsur fantasi yang sinonim dengan genre tersebut.

"Saya sangat percaya, kalau satu filem tidak ada adegan drama yang kita boleh relate to (kaitkan dengan diri kita), filem itu akan rasa 'kosong'... jadi dalam semua filem kita sebelum ini pun, kita sentiasa cuba mencari satu tema untuk jadikan filem itu lengkap.

"Adegan dan karakter yang dipamerkan dalam filem ini adalah beyond realistic (melangkaui realiti), jadi kita perlu imbangi aspek itu, kita mahu selitkan konflik keluarga yang biasa terjadi dan memberi nilai moral, misalnya kemaafan dan sifat memahami serta akibat yang boleh memecahbelahkan keluarga " katanya pada sidang media bersempena dengan malam gala filem tersebut, malam tadi.

Penerbit dan penulis skrip filem pecah panggung Polis Evo itu juga menjanjikan adegan aksi dari sisi berlainan berbanding yang pernah dihasilkan dalam filem sebelum ini.

Joel berkata, filem menggunakan slogan "Satu Rompakan Berkeluarga Terbesar” itu turut menyelitkan sisi emosi serta unsur komedi yang menghiburkan dan diharap memberi perspektif baharu kepada arena filem tanah air.

"The Experts” menampilkan persembahan mantap pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz sebagai Farid yang merupakan ketua serta abang sulung, Syafiq Kyle (Keyrol, pakar risikan), Mimi Lana (Emma, pakar manipulasi), Remy Ishak (Amer, pakar penyamaran) serta Ray Dapdap (Lan, pakar godam).

Turut membintangi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures yang bakal ditayangkan di 172 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei itu ialah Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan Michael Ang.

Artikel Berkaitan:

Filem berdurasi 121 minit itu mengisahkan sebuah keluarga terdiri daripada lima beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, namun kembali berkumpul kerana satu ugutan dan arahan daripada gengster paling berbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar yang berisiko tinggi.

Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau. Bagaimana mereka harus berdepan dengan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini akan menjadi kali terakhir untuk lima beradik ini bersama? - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!