X

Kindly register in order to view this article
!

Bukti rakyat muak dengan PH, Warisan: Ka Siong

Wee Ka Siong
A
A

SHAH ALAM – Kemenangan Barisan Nasional (BN) buat kali kelima berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu membuktikan rakyat benar-benar muak dan tidak lagi yakin dengan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di peringkat negeri.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, rakyat terluka dengan kerajaan PH yang bukan sahaja gagal menunaikan janji manifesto, malah juga gagal menjaga hak dan kepentingan rakyat.

“Meskipun PH dan Warisan menabur macam-macam peruntukan dan memiliki kekuatan jentera kerajaan termasuk media-media utama tetapi rakyat lebih bijak dalam memilih wakil rakyat mereka.

“Mesej rakyat di Kimanis sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya malam tadi.

Kenyataan Ka Siong mengenai kemenangan BN di PRK Kimanis yang dimuat naik di Facebooknya malam tadi.
Kenyataan Ka Siong mengenai kemenangan BN di PRK Kimanis yang dimuat naik di Facebooknya malam tadi.

Katanya, lebih menggembirakan apabila BN menang dengan majoriti jauh lebih besar berbanding PRU14 lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kimanis kekal milik BN, majoriti lebih besar

“Tahniah Datuk Mohamad Alamin di atas kemenangan dalam pertempuran satu lawan satu di PRK Kimanis. Lebih menggembirakan, PRK di Kimanis ini BN menang dengan majoriti undi yang jauh lebih besar berbanding PRU14 lalu.

“Tidak dilupa ucapan terima kasih kepada seluruh jentera semua peringkat BN, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), PAS, Friends of BN, anak-anak muda dan para penyokong BN.

Tambah Ka Siong, beliau yakin Mohamad Alamin akan menjadi seorang wakil rakyat yang berwibawa dalam memperjuangkan nasib warga Kimanis serta menjalankan semak dan imbang kerajaan PH.

“Sekali lagi tahniah dan terima kasih pengundi Kimanis!” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus