Putera Harry, Meghan lepaskan gelaran diraja

Putera Harry dan isterinya, Meghan bersetuju melepaskan gelaran diraja dan berhenti menerima dana awam.
Putera Harry dan isterinya, Meghan bersetuju melepaskan gelaran diraja dan berhenti menerima dana awam.
A
A
A
LONDON - Putera Harry dan isterinya, Meghan bersetuju melepaskan gelaran diraja dan berhenti menerima dana awam sebagai sebahagian daripada penyelesaian dengan Ratu Elizabeth II bagi membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa di Kanada.

Pengumuman bersejarah dari Istana Buckingham itu dibuat semalam selepas perbincangan sejak beberapa minggu lalu bagi menangani tindakan mengejut pasangan terbabit untuk berundur daripada tugas rasmi diraja.

"Selepas rundingan berbulan lamanya dan perbincangan terbaru, saya gembira apabila kami telah mencapai persefahaman bagi menyokong cucu dan keluarganya.

“Saya menyedari cabaran yang mereka hadapi berikutan pengamatan ketara terhadap kehidupan mereka sejak dua tahun lalu dan menyokong keputusan mereka untuk jalani hidup yang lebih bebas,” kata Ratu Elizabeth II dalam satu kenyataan.

Ratu Elizabeth II, 93, mengeluarkan kenyataan itu bagi merujuk tindakan pasangan terbabit yang sebelum ini dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex, menyaman beberapa akhbar Oktober lalu kerana menceroboh kehidupan peribadi mereka.

Dalam kenyataan berasingan, Istana Buckingham memaklumkan Duke dan Duchess of Sussex tidak akan lagi menggunakan gelaran diraja itu kerana bagi tujuan rasmi, tidak lagi dianggap sebagai mewakili anggota keluarga diraja.

Ini bermakna Harry selaku cucu kepada Ratu Elizabeth II dan isterinya, pelakon berbangsa Amerika Syarikat (AS), tidak akan lagi menggunakan gelaran ‘Yang Mulia’, nasib sama seperti ibunya, mendiang Puteri Diana selepas bercerai dengan Putera Charles pada 1996.

“Seperti mana dipersetujui, mereka tidak akan terbabit dengan tugas diraja, menerima pangkat ketenteraan rasmi selain tidak lagi menerima dana awam bagi tugas diraja.

“Mereka juga perlu membayar balik £2.4 juta (RM12.5 juta) wang pembayar cukai, yang digunakan bagi mengubah suai kediaman mereka, Frogmore Cottage, berhampiran Istana Windsor," katanya.
Artikel Berkaitan:


Pengumuman pasangan terbabit mengundang pelbagai ulasan pemerhati dan yang menyamakannya seperti krisis membabitkan Raja Edward VIII yang turun takhta pada 1936 bagi mengahwini wanita AS, Wallis Simpson. - AFP