[VIDEO] Pusat Rawatan TH di Madinah dapat kelulusan permit
MAKKAH - Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Madinah buat tahun ketiga berturut-turut telah menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama di Arab Saudi yang mendapat kelulusan permit beroperasi (Tasrih) oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, kelulusan ini membolehkan TH membuka pusat rawatan dan beroperasi sepenuhnya bagi musim haji kali ini.
Menurutnya, kelulusan permit ini diberikan setelah pusat rawatan TH melalui pemeriksaan yang ketat, teliti dan rapi oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
“Mereka bukan sekali tetapi beberapa kali untuk melihat persediaan dan persiapan pusat rawatan ini. Mereka melihat bukan sahaja dari seri aspek peralatan, kawasan, prosedur kerja dan bahkan aspek kepakaran doktor serta anggota perubatan,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Beliau berkata, kelulusan permit ini juga satu pengiktirafan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan TH yang telah menunjukkan komitmen dan tahap profesionalisme yang tinggi.
"Ini juga telah mengiktiraf kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia," katanya.
Manakala, bagi Pusat Rawatan di Makkah pula, beliau memberitahu, pusat rawatan tersebut dibenarkan beroperasi secara sementara dan pihaknya masih menunggu permohonan diluluskan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Syed Salleh berkata, setakat ini terdapat lima orang pesakit sedang dirawat iaitu seramai empat orang di Pusat Rawatan di Madinah dan satu di Pusat Rawatan di Makkah.
"Dua orang daripada lima pesakit ini telah mengalami kecederaan patah tangan dan patah ibu jari kaki, mereka berada di Madinah, manakala selebihnya terdapat sakit jantung dan jangkitan kuman," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan masing-masing dan berhati-hati dalam sebarang aktiviti seharian agar aktiviti mampu beribadah dengan baik di Tanah Suci.
Syed Salleh menyarankan jemaah supaya datang ke klinik-klinik Maktab sekiranya tidak sihat untuk memastikan mereka mendapat rawatan awal.
Menurutnya, jemaah haji dinasihatkan agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran cuaca panas boleh mencecah 45 darjah Celcius sepanjang musim haji kali ini.
"Para jemaah haji dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca yang panas. Suhu ini dijangka akan terus meningkat menjelang Masyair. Minum air dengan banyak supaya tidak berlaku strok haba.
"Semua jemaah diingatkan untuk mengambil makanan seimbang dan minum air yang mencukupi untuk mengekalkan hidrasi dalam berhadapan dengan cuaca panas agar mereka kekal sihat untuk meneruskan aktiviti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!