Wanita maut nahas dua kenderaan

Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis.
Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 75, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa berusia 55 tahun merupakan penumpang di bahagian depan kereta jenis Honda H-RV yang dipandu anaknya berusia 22 tahun.

Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.

"Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebuah kereta yang tidak dikenal pasti nombor kenderaan memotong dari arah bertentangan.

"Pemandu Honda H-RV cuba mengelak ke bahu jalan sebelah kiri kemudian masuk semula ke laluan asal, namun hilang kawalan dan terus ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Volkswagen Golf," katanya.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala penumpang belakang Honda H-RV yang juga suami mangsa serta pemandu Volkswagen Golf mengalami kecederaan.

Tambah beliau, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai manakala mangsa maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!