189 SRN didaftar dalam IPT seluruh negara

Shah Alam: Mei 16 2024: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (tiga dari kiri) Timbalan, Senator Saraswathy Kandasami (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada majlis Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2024 yang diadakan pada Khamis.

A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) telah didaftarkan di kampus institut pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, daripada jumlah itu sebanyak 30 SRN berdaftar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 36 di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik (28), Kolej Matrikulasi (17), Kolej Komuniti (51) dan 27 di kampus Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Justeru saya menyeru semua IPTS dalam negara untuk turut bersama-sama menubuhkan SRN sebagai platform integrasi nasional di peringkat IPT masing-masing.

"Kementerian juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program penghayatan Rukun Negara di peringkat IPT seperti Debat Perpaduan, 'chit chat' belia, Jalinan Integrasi Nasional, Raja Kita Payung Kita dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai johan Debat Perpaduan Negara Piala Menteri Perpaduan 2024 menewaskan Universiti Malaya (UM) di peringkat akhir.

USIM membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 termasuk geran SRN berjumlah RM10,000, piala pusingan serta sijil penyertaan pertandingan.

Shah Alam: Mei 16 2024: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) Timbalan, Senator Saraswathy Kandasami (lima dari kiri) bergambar bersama pemenang pada majlis Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2024 yang diadakan pada Khamis.

Dalam pada itu, Aaron memaklumkan, kerajaan menerusi kementerian tersebut memperuntukkan geran sebanyak RM3,000 kepada semua SRN bagi melaksanakan Eksplorasi Rukun Negara di peringkat IPT.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan itu merupakan antara agenda pengukuhan perpaduan dalam kalangan mahasiswa menerusi inisiatif berkenaan.

"Kementerian sentiasa memberi penekanan dan fokus kepada agenda pengukuhan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda," ujarnya.

Sementara itu, Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit menjelaskan, program Debat Perpaduan Negara merupakan komitmen serta objektif Dasar Perpaduan Negara untuk memupuk serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Mengangkat tema 'Menjiwai Rukun Negara', beliau berkata, ia dipilih untuk menterjemahkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan anak muda yang bertunjangkan konsep membudayakan perpaduan serta meraikan kepelbagaian.

"Dengan pelaksanaan program seperti ini, diharapkan dapat merealisasi hasrat kerajaan untuk meningkatkan keutuhan aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!