X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Kimanis catat peratusan mengundi tertinggi

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis
Orang ramai beratur bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis hari ini. - Foto Bernama
A
A

BEAUFORT - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding sembilan PRK sebelum ini, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pada PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 79.92 peratus melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Malah peratusan hari ini melangkaui peratusan keluar mengundi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau (pada April tahun lepas) yang mencatat peratusan keluar mengundi 79.31 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlintas langsung bersama Bernama TV mengenai proses pengundian PRK berkenaan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini malam ini.

Azhar berkata, proses pengundian PRK Parlimen Kimanis juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, PRK DUN Rantau pada April tahun lepas, mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi sebanyak 79.31 peratus.

PRK Parlimen Kimanis merupakan pilihan raya kecil ke-10 sejak PRU14 pada Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU14 lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!