Kegiatan pindah diesel di lokasi tersorok terbongkar

Mohd Zuhairi (dua dari kanan) melihat kaedah yang digunakan sindiket untuk melakukan pemindahan diesel di lokasi serbuan dekat Pulau Meranti, Puchong pada Rabu.
Mohd Zuhairi (dua dari kanan) melihat kaedah yang digunakan sindiket untuk melakukan pemindahan diesel di lokasi serbuan dekat Pulau Meranti, Puchong pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Kegiatan seleweng diesel yang berselindung di sebalik lokasi sunyi dan tersorok sekitar Pulau Meranti di sini terbongkar selepas diserbu pada Selasa.

Lokasi ini dipercayai menjadi 'port' pemindahan diesel daripada lori yang diubahsuai ke dalam kontena.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan sebelum itu dijalankan pihak Wildlife Crime Bureau Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman kira-kira jam 10 malam.

Taktik memindahkan diesel ini bertempat di lokasi yang sunyi serta tersorok di kawasan Pulau Meranti, Puchong.
Taktik memindahkan diesel ini bertempat di lokasi yang sunyi serta tersorok di kawasan Pulau Meranti, Puchong.

"Serbuan mendapati berlakunya kegiatan penyelewengan iaitu pemindahan diesel secara tidak sah sedang dijalankan.

"Empat lelaki tempatan berumur lingkungan 43 hingga 45 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu lori dan pembantu (kelindan lori) yang terlibat dalam kegiatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi serbuan dekat Pulau Meranti di sini pada Rabu.

Katanya, kes diserahkan pihak polis kepada KPDN Selangor untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan sebelum itu mendapati kesemua suspek yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.

"Mereka yang ditahan direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Zuhairi berkata, rampasan melibatkan lori tangki, lori yang membawa dua tangki yang diubah suai serta sebuah kontena selain pelbagai peralatan yang digunakan untuk melakukan pemindahan diesel.

"Keseluruhan diesel yang dirampas sebanyak 98,400 liter dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!