Bekas pengurus kewangan didakwa pecah amanah RM70,000

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus kewangan dan sumber manusia sebuah syarikat aksesori elektronik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM70,000 empat tahun lepas.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Wee Yong Huang, 35, didakwa sebagai pengurus kewangan dan sumber manusia Syarikat Evpad Tv Box (M) Sdn Bhd melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran kepada dua akaun bank didaftarkan atas nama tertuduh tanpa kebenaran sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM70,000 kepada pihak syarikat.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Syarikat Evpad Tv Box di Bandar Manjalara, Kepong di sini antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 6 Julai 2020 dan 25 Ogos 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Alvin Tan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta kos rawatan perubatan ibu yang menghidap angin ahmar.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!