Negeri Sembilan buka ruang luas, media lapor berita

Aminuddin (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Aminuddin (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli yang turut hadir pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membuka ruang seluas-luasnya kepada pengamal media menyampaikan berita berkenaan negeri ini bagi memastikan segala usaha kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peranan media yang sebenarnya merupakan 'key player' kepada pembangunan minda rakyat yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

"Media massa pada masa kini bukan lagi menjadi medium hiburan semata-mata, bukan juga menjadi penyampai maklumat tentang isu-isu semasa malah menjadi wadah pencetus pembentukan minda masyarakat ke arah lebih kreatif dan kritis.

"Sesuai dengan kuasa dan pengaruh yang besar pada media massa, ia adalah ejen kepada negara untuk membantu mendidik dan menyedarkan masyarakat," katanya ketika berucap sempena Malam Apreasiasi Media bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan 2024 di sini pada Isnin.

Ujarnya, masyarakat bukan sekadar hanya membaca dan melihat ‘sajian’ yang dipaparkan tetapi disuntik dengan kata-kata semangat dan sindiran untuk menyedarkan mereka agar peka dengan isu pembangunan insan dan negara.

Antara pengamal media yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara pengamal media yang hadir pada majlis berkenaan.

"Pada zaman ini, kita tidak lagi melihat media massa dalam bentuk bahan cetak semata-mata, tetapi semua bahan cetak yang sebelum ini menjadi pilihan rakyat telah diubah ke bentuk digital yang memudahkan capaian berita dan informasi di hujung jari," katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi sebuah kerajaan, hubungan yang baik dengan pihak media adalah suatu kelebihan dari segi aspek penyampaian dasar-dasar kerajaan dan perancangan masa depan yang hendak dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, pihak media dapat memberi liputan secara meluas dan mendalam berkaitan dasar dan rancangan kerajaan bagi membolehkan rakyat memahami dengan tepat," katanya.

Justeru katanya,pihaknya membuka ruang seluas-luasnya untuk pihak media menyampaikan berita berkenaan negeri ini di setiap platform masing-masing.

"Saya dan rakan-rakan pentadbiran negeri ini sedaya upaya memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang kami mentadbir negeri ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!