Isteri penyelia jatuh kren terima faedah bulanan PERKESO sepanjang hayat

Steven Sim. Foto Bernama
Steven Sim. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Balu kepada penyelia kren yang maut ketika menyelenggara ladle crane dekat sini pada 5 Mei lepas, layak menerima Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM2,673 sepanjang hayat dan Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 secara sekali bayar daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, A Komlah, 49, layak menerima faedah berkenaan menerusi Skim Bencana Pekerjaan selepas semakan oleh PERKESO mendapati suaminya, mendiang S Muniandy, 51, merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1991.

"Hasil penelitian PERKESO mendapati ketiga-tiga anak mendiang telah melepasi umur 21 tahun, oleh itu hanya balu mendiang layak menerima faedah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Perkeso hari ini.

Selain pemberian faedah, Steven berkata, PERKESO juga akan membantu anak sulung mendiang, M Gajeswari, 27, mendapatkan pekerjaan bersesuaian melalui platform portal pekerjaan negara MYFutureJobs selepas dia mengambil keputusan berhenti kerja di Kuala Lumpur untuk menjaga ibunya.

Pada 5 Mei lepas, Muniandy yang merupakan penyelia disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas ladle crane di sebuah kilang pembuatan di Butterworth. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: