Kabinet lulus pemanjangan landasan LTSIP

Anthony Loke (kanan) bersama dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika sidang media selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim pada Isnin. Foto Bernama
Anthony Loke (kanan) bersama dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika sidang media selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa daripada 2400 meter kepada 2800 meter dalam usaha menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek pemanjangan itu juga tidak dianggap sebagai satu projek berasingan tetapi sambungan kepada projek sedia.

Menurut beliau, keputusan itu dapat mempercepatkan projek berkenaan kerana tidak memerlukan proses tender dan menjadi sambungan kepada fasa dua.

"Kabinet telah meluluskan cadangan kerajaan negeri Kelantan dan Kementerian Pengangkutan akan bertindak serta berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat dan mesyuarat berkaitan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini pada Isnin.

Anthony memberitahu, kos untuk tambahan sebanyak 400 meter itu bagaimanapun belum dapat ditentukan dan perlu dikaji semula.

"Perbincangan akan dilakukan dengan pihak berkaitan kerana perlu melalui beberapa proses dan perlu dikaji semula walaupun tiada tender.

"Kita akan berunding sebaik mungkin kerana kontraktor juga tidak boleh mengenakan caj tinggi walaupun ia dikagerikan sebagai projek sedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Nassuruddin mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berita gembira itu.

"Lapangan terbang itu membantu Kelantan lebih maju pada masa depan," katanya.

Perdana Menteri pada majlis sambutan Aidilfitri di Kelantan baru-baru ini bersetuju dengan cadangan Kelantan supaya lapangan terbang itu dijadikan lapangan terbang antarabangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!