LKIM pertimbang tambah slipway

Muhammad Faiz (kanan) melihat bot yang masuk untuk dibaiki di slipway PNK Kuala Kedah, Kampung Teluk Layang pada Isnin.
Muhammad Faiz (kanan) melihat bot yang masuk untuk dibaiki di slipway PNK Kuala Kedah, Kampung Teluk Layang pada Isnin.
A
A
A

KUALA KEDAH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang melihat keperluan untuk menambah tempat pembaikan bot (slipway) dalam negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini, terdapat enam 'slipway' di seluruh negara termasuklah di Kuala Kedah, Kedah; Kuantan, Pahang, Tumpat, Kelantan serta Besut dan Pengkalan Arang, Terengganu.

Menurutnya, lima slipway itu dibina LKIM sebelum diserahkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) manakala sebuah slipway di Kuala Kedah dibina PNK sendiri.

"Saya sedang melihat potensi pembinaan slipway di Kompleks LKIM Labuan kerana kita didapati ada tanah kosong yang boleh dimanfaatkan untuk membina tempat membaiki bot ini.

"Pembinaan slipway itu juga akan memajukan lagi industri perikanan Labuan. Tapi kena manfaatkan tanah kosong yang ada di sana," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Program Rahmah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM bersama nelayan Kuala Kedah di Slipway PNK Kuala Kedah, Kampung Teluk Layang dekat sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan berhampiran Kompleks LKIM yang berpotensi untuk dibina slipaway tersebut.

"Jadi, yang pertama kita perlukan kemampuan kewangan dan juga tekad serta keazaman PNK untuk usahakan slipway kerana ini bukan satu projek mudah tetapi projek yang memerlukan kemahiran, kakitangan dan modal besar.

Artikel Berkaitan:

"Namun,kita akan bantu. Insya-ALLAH, antara tempat sasaran yang saya lihat ada tanah kosong iaitu di Labuan," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, pembinaan slipway baharu di Labuan itu memerlukan kajian terperinci terlebih dahulu.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz memberitahu, pembinaan slipway di Kuala Kedah yang menggunakan peruntukan persatuan nelayan sendiri mampu memudahkan urusan pembaikan bot di negeri ini.

Beliau menambah, slipway terbabit memberi manfaat kepada nelayan setempat terutamanya Kuala Kedah apabila tidak perlu lagi mencari pihak swasta ataupun menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk membaiki bot mereka.

Beliau memaklumkan,slipway terbabit tidak terhad kepada nelayan tempatan semata-mata, sebaliknya ia juga untuk kemudahan nelayan di negeri-negeri lain.

Menurut beliau, pembinaan slipway di kawasan-kawasan terlibat dilihat mampu menjimatkan kos memandangkan kosnya lebih rendah.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melihat keperluan dan kepentingan menambah tenaga mahir bagi memenuhi keperluan dalam industri perikanan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!