[VIDEO] Van pelancong Thailand tidak dibenarkan masuk Malaysia - Anthony

A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan pengusaha van pelancong di Thailand membawa masuk kenderaan mereka bagi mengelakkan industri bas ekspres di negara ini terjejas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ada di antara pengusaha terbabit akan mengambil peluang membawa penumpang dalam negara selain membawa pelancong mereka.

"Mereka akan singgah untuk mengambil penumpang di dalam negara dan pergi sehingga ke Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi melalui Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaiktaraf LTSIP, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.

Anthony Loke bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin (kanan) melawat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik Taraf LTSIP pada Isnin. Foto Bernama
Anthony Loke bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin (kanan) melawat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik Taraf LTSIP pada Isnin. Foto Bernama

Bagaimanapun Anthony memberitahu, tiada masalah bagi bas dari Thailand yang mahu memasuki negara ini melalui pakej yang disediakan, namun perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengakutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu untuk mendapatkan permit.

"Tiada had yang ditentukan untuk kemasukan bas tetapi syarikat bas terbabit perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti pakej pelancongan bilangan penumpang dan lokasi penginapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan sudah memohon kelonggaran permit bas pelancong dari Thailand dengan Kementerian Pengangkutan untuk kemasukan kenderaan itu ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!