Pelbagai inisiatif bukti kerajaan serius pacu perkembangan AI

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keupayaan sesebuah negara melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam merangsang inovasi dan meningkatkan produktiviti serta daya saing kini menjadi antara kayu ukur dalam menarik pelaburan asing.

Perkara ini jelas ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Malaysia bergerak pantas membina ekosistem AI terutamanya untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang itu bagi memenuhi kehendak syarikat gergasi teknologi yang menyatakan minat untuk melabur di negara ini.

Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.

Pada Jumaat, Perdana Menteri melancarkan tiga lagi inisiatif iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).

Penyelidik Pusat AI dan Robotik UTM, Prof Dr Ahmad 'Athif Mohd Faudzi berkata, ketiga-tiga inisiatif berkenaan mengambil kira aspek keseluruhan dalam pembangunan ekosistem AI dan akan menjadi pelengkap antara satu sama lain.

"Saya berpandangan Perdana Menteri sangat serius dan melihat perkembangan teknologi semasa sebagai pemacu ekonomi negara. Dalam perkembangan yang pesat di negara-negara Barat dan China contohnya, kita perlu menggembleng dan meningkatkan keupayaan pakar dari kalangan warga Malaysia untuk memacu ekonomi dengan teknologi AI dan robotik," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Ahmad 'Athif program Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030 meliputi perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dibantu dengan penubuhan FAI yang menawarkan program Sarjana Muda AI dengan kemasukan pertama pelajar pada Oktober tahun ini.

Tambahnya program Sarjana Muda AI itu akan disusuli oleh program lain yang akan ditawarkan di universiti awam dan swasta lain.

Artikel Berkaitan:

"Penubuhan MAIC pula mengambil kira cakupan pakar semasa dari pelbagai universiti dan industri dalam bidang AI serta bidang-bidang berkaitan untuk memberi nasihat, kepakaran dan juga sumbangan kepada pembangunan bakat dan FAI tadi," kata Ahmad 'Athif.

Sementara itu Timbalan Dekan Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Hadhrami Ab Ghani berkata penekanan Perdana Menteri supaya Malaysia memacu penggunaan dan perkembangan AI sangat tepat pada masanya memandangkan teknologi itu telah dan sedang dibangunkan dengan pesat di seluruh dunia.

"Tanpa penekanan serius seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, maka Malaysia akan tertinggal ke belakang dan sukar untuk menyaingi negara lain, sedangkan negara ini sudah mula menunjukkan petanda positif dalam pertumbuhan ekonomi dengan menerima pelbagai pelaburan dari luar negara sejak pentadbiran Perdana Menteri ke-10," katanya.

Hadhrami berkata AI juga terbukti mampu mempercepat dan memudahkan pelbagai urusan khususnya dalam aktiviti ekonomi dan industri yang sedang memecut laju di seluruh dunia.

Justeru katanya perkembangan ekonomi kognitif yang berteraskan AI memerlukan persiapan dan kefahaman menyeluruh dalam kalangan masyarakat yang dapat disediakan melalui fakulti AI dan konsortiumnya seperti digagaskan kerajaan.

Bagi memacu perkembangan dan penggunaan AI seiring negara-negara lain, beliau menyarankan supaya kajian segera dan menyeluruh disediakan untuk melihat aspek kemahiran terutamanya bagi aplikasi AI yang perlu dalam pelbagai bidang untuk mendapat manfaat maksimum.

"Semua pihak yang dipilih untuk menggalas tugas menobatkan penggunaan AI ini perlulah mempunyai kelayakan, kesungguhan dan ketelusan selain dipandu dan dipantau oleh pihak yang berautoriti di kementerian atau di peringkat yang berkenaan.

"Kerjasama erat sangat perlu antara semua agensi, pemegang taruh yang terlibat. AI bukan perkara baharu, ramai pakar di Malaysia yang boleh dimanfaatkan khususnya dari universiti dan industri,” katanya.

Mengenai penubuhan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau berpendapat fakulti itu wajar diperluas ke universiti yang lain supaya dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari AI, malah ia juga dilihat tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana hampir seluruh universiti di negara ini memiliki pakar dalam bidang itu.

"Aplikasi AI kini semakin merentas bidang dan tidak hanya tertumpu kepada pelajar aliran komputer dan sains komputer. Justeru sambutan terhadap Fakulti AI ini, jika diperluas ke seluruh Malaysia, berkemungkinan besar akan menjadi hangat selain faktor popularitinya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!