[VIDEO] Pasangan warga emas redah 200 km demi PRK Kuala Kubu Baharu

A
A
A

HULU SELANGOR - Pasangan warga emas sanggup menempuh perjalanan hampir 200 kilometer (km) dari Kuala Kangsar, Perak ke Kuala Kubu Baharu di sini demi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Pasangan berkenaan Abdul Rahim Bidin, 67 dan Noraini Mansor, 65, bergerak selepas subuh dan selesai membuang undi di SJKC Khing Ming sekitar jam 8.30 pagi, Sabtu.

Abdul Rahim berkata, dia menggagahkan diri memandu lebih dua jam kerana belum menukar tempat mengundi di sana.

"Sudah 10 tahun pindah ke Kuala Kangsar selepas bersara namun sudah biasa berulang-alik ke Kuala Kubu Baharu atas urusan rawatan kesihatan.

"Anak-anak juga kebanyakan tinggal di sini, " katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, walaupun jauh, namun dia telah merancang awal untuk keluar mengundi pada Sabtu dan akan terus pulang ke Kuala Kangsar selepas selesai urusan pengundian.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim dan Noraini selesai membuang undi di SJKC Khing Ming pada Sabtu.
Abdul Rahim dan Noraini selesai membuang undi di SJKC Khing Ming pada Sabtu.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Lee Kee Hiong yang meninggal dunia 21 Mac lalu pada usia 58 tahun.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 40,226 pemilih layak mengundi termasuk 863 pengundi awal.

Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran mengundi akan mula dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang mempunyai 40 orang pengundi dan ditutup 2 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!