Tiada abu selagi api berbara

A
A
A

KITA perlu menjaga jiwa agar tidak mudah kuncup bila berhadapan dengan cabaran dan ujian hidup. Sejujurnya saya bukanlah pakar dalam bidang metafora, pun begitu gambaran sesuatu isu dengan menggunakan metafora adalah sangat relevan untuk kita mendalami segala maksud yang tersirat daripada metafora tersebut.

Berkaitan dengan tajuk artikel ini, adalah jelas bahawa abu sentiasa dikaitkan dengan kegagalan yang begitu sukar untuk dipulihkan semula manakala api yang masih berbara bermaksud semangat yang perlu ada bagi seseorang agar tidak mudah gagal. Justeru, metafora tersebut bolehlah dikupas sebagai; ‘Abu tidak wujud jika api masih berbara dan hidup tidak akan kecundang selagi semangat masih membara’.

Sebetulnya, masih ramai yang berputus asa untuk hidup. Terdapat pelbagai sebab mereka berputus asa antaranya gagal mendapat kerja, putus cinta, dibuang kerja, dijangkiti penyakit yang serius dan sebagainya lagi.

Pendek kata, setelah berada dalam zon berputus asa, mereka akan menghadapi kesukaran untuk berdiri semula dan amat bergantung kepada orang lain untuk terus hidup. Akhirnya mereka dibelenggu dengan rintihan hidup setiap hari.

Berkaitan hal itu, saya cukup teruja untuk berkongsi kisah sejarah pembentukan empayar Othmaniah oleh seorang pahlawan Turki bernama Ertugrul yang merupakan bapa kepada peneraju empayar Othmaniah. Pada suatu hari, setelah Ertugrul berjaya membuat perjanjian dengan Sultan Al-Aziz untuk mendapatkan tanah di Aleppo, mereka telah bergerak dalam satu rombongan yang besar untuk berhijrah ke sana.

Pun begitu, kesan daripada fitnah, mereka telah dihalang oleh tentera Sultan Al-Aziz untuk memasuki Aleppo. Natijahnya, ramai yang kecewa dan berputus asa termasuklah pahlawan mereka. Pun begitu, ketua rombongan tersebut, Sulayman Shah iaitu ayah kepada Ertugrul telah berkata: “Adakah kamu sedar bahawa kita tidak dapat masuk ke kota Aleppo bukan kerana faktor fitnah serta sultan yang telah melanggar perjanjian, namun disebabkan oleh ALLAH yang belum memberikan keizinan untuk masuk ke kota tersebut.”

Kesan daripada kata-kata tersebut, barulah mereka sedar tentang kekhilafan mereka berkaitan dengan akidah selama ini. Akhirnya semangat mereka kembali pulih.

Ini bermakna, kita tidak akan menjadi abu sekiranya meletakkan kepercayaan tinggi kepada ALLAH. Ini kerana setiap apa yang berlaku kepada kita sudah tentu ada sebab dan hikmahnya.

Artikel Berkaitan:

Kita perlu menjaga jiwa agar tidak mudah kuncup bila berhadapan dengan cabaran dan ujian hidup.

Menurut Ibnu Qayyim, manusia terdiri daripada tiga jenis iaitu: Pertama, orang yang hatinya telah mati di mana ayat-ayat ALLAH tidak akan menjadi peringatan kepada hati mereka; kedua, orang yang masih hidup hatinya, namun tidak memerhatikan ayat-ayat ALLAH untuk dijadikan peringatan dan panduan dalam hidup; dan ketiga, orang yang hatinya benar-benar hidup di mana akan menghadirkan hati mereka bagi setiap ayat-ayat ALLAH dan sentiasa mengambil peringatan terhadap ayat tersebut.

Justeru, dekatnya hati kita dengan ALLAH akan menjadikan diri kita sentiasa membara dan tidak mudah mengalah.

Pada hemat saya, gejala mudah berputus asa ini hadir disebabkan ramai dalam kalangan kita yang tidak memberi fokus kepada masalah utama dalam diri, sebaliknya memberi fokus kepada masalah bersifat sementara. Sebagai contoh, kita lebih utamakan mencari jalan bagaimana untuk menjadikan orang lain suka kepada kita berbanding usaha memperbaiki jiwa kita sendiri. Begitu juga, mencari jalan untuk perbanyakkan rezeki, namun masih gagal mencari keberkatan dan keredaan daripada ALLAH. Ingatlah, cahaya itu datang daripada ALLAH, berusahalah mencarinya sebelum ia padam menjadi abu.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis