Penganggur didakwa subahat tipu pembelian saham lebih RM17 juta

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen KL pada Khamis atas pertuduhan menipu sebuah syarikat pembekal elektrik berhubung pembelian saham lebih RM17 juta, 17 tahun lepas. Gambar hiasan
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen KL pada Khamis atas pertuduhan menipu sebuah syarikat pembekal elektrik berhubung pembelian saham lebih RM17 juta, 17 tahun lepas. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan bersubahat dengan bekas pengarah urusan mendiang Gordon Toh Chun Toh berhubung pembiayaan pembelian saham bernilai lebih RM17 juta, 17 tahun lalu.

Daniel Wong Jit Kiang, 69, didakwa bersubahat dengan Gordon Toh untuk menipu syarikat Multi-code Electronics Industries (M) Bhd (Multi-Code) dengan menggunakan RM17.552,275.20 juta daripada dana Multi-Code antara 26 dan 28 Mac 2007 untuk membiayai pembelian 11.1 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kenanga Investment Bank Berhad, Taman Pelangi, Johor Bahru antara 26 dan 28 Mac 2007.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dibaca bersama Seksyen 87A(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM1 juta dan penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Hashley Tajudin tidak menawarkan jaminan kerana ia kesalahan yang tidak boleh dijamin namun peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin mewakili Jit Kiang memohon jaminan rendah kerana anak guamnya diisytiharkan muflis selain mempunyai penyakit jantung.

"Saya mohon mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya jaminan dibenarkan, saya mohon satu jaminan yang tidak membebankan dengan mengambil kira faktor usia tertuduh dan beliau juga seorang yang bankrup," kata peguam.

Hakim Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, SC dalam kenyataan memaklumkan Daniel Wong telah ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) sekembalinya dari Singapura.

Artikel Berkaitan:

Menurut SC, dia ditahan dengan bantuan Interpol, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD di bawah Pasukan Polis Singapura dan Aviation Security (AVSEC) Malaysia Airports Holdings Berhad.

"Daniel Wong telah melarikan diri selama 15 tahun walaupun banyak usaha untuk mengesannya telah dilakukan dan dua waran tangkap berasingan dikeluarkan terhadapnya pada tahun 2009 dan 2019," kata SC.

Sebelum ini, Gordon Toh, seorang warganegara Singapura, didakwa pada 2009 atas kesalahan utama itu dan tuduhan alternatif melakukan kesalahan pecah amanah.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan alternatif dan dihukum penjara 12 tahun dan denda berjumlah RM1 juta.

Bagaimanapun dia telah meninggal dunia sebelum rayuannya terhadap sabitan dan hukuman didengar oleh Mahkamah Tinggi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!