Pahang peruntuk lebih RM10 juta bangun sektor pelancongan

Pahang lulus peruntukan lebih RM10 juta untuk membangunkan sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri ini. Gambar kecil: Leong Yu Man
Pahang lulus peruntukan lebih RM10 juta untuk membangunkan sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri ini. Gambar kecil: Leong Yu Man
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan lebih RM10 juta untuk membangunkan sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri ini pada tahun ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, daripada jumlah peruntukan itu, RM3 juta bagi penyediaan infra dan fasiliti pelancongan, RM3 juta untuk memajukan ekopelancongan Sungai Pahang dan RM2.2 juta bagi pembangunan pelancongan berasaskan flora atau perhutanan.

Menurutnya, selain itu, RM600,000 untuk Projek Merapoh The Caving Paradise iaitu menaik taraf fasiliti di Gua Sisik Naga dan penyediaan kemudahan penginapan resort kabin.

"RM500,000 lagi bagi menaik taraf kemudahan dan memelihara kawasan tinggalan sejarah Tok Gajah - Mat Kilau, RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Hutan Lipur Parit Fall, Cameron Highlands dan RM300,000 untuk Kompleks Perkampungan Budaya Orang Asli di Lipis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan langkah kerajaan negeri bagi menggalakkan pelancongan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya (Pas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Tambah Yu Man, bagi daerah Kuantan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah meluluskan projek penyelenggaraan di bawah kerja-kerja pemulihan, pemuliharaan, ubahsuai dan naik taraf sektor pelancongan, kebudayaan dan warisan pada tahun 2022.

"Ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf kawasan pelancongan di Laman Terowong Sungai Lembing dengan kos RM200,000.

"Tahun lalu, RM700,000 diluluskan bagi projek penyelenggaraan melalui Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melalui projek naik taraf Jeti Shahbandar Kuantan dan projek penyelenggaraan infrastruktur pelancongan Bukit Panorama, Sungai Lembing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, MOTAC turut meluluskan projek di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi projek menaik taraf kemudahan pelancongan di Paya Bakau di sini melibatkan kos projek RM4 juta.

"Melalui usaha-usaha yang telah dijalankan ini, ia diharap dapat memberi impak besar kepada kedatangan pelancong ke Pahang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!