X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

KPDNHEP tambah baik lesen borong, runcit LPG di Pulau Sebatik

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A

TAWAU - Kerajaan sedang menambah baik lesen borong dan runcit bagi penjualan tong gas petroleum cecair (LPG) di Pulau Sebatik dekat sini dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan gas bersubsidi ke negara jiran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting berikutan keadaan unik pulau itu yang terbahagi kepada dua iaitu sebahagian di bawah pentadbiran Malaysia dan sebahagian lagi di bawah Indonesia.

Beliau berkata, kerajaan sedia maklum mengenai perbezaan harga yang besar bagi tong LPG di Malaysia berbanding dengan harga yang ditawarkan di Indonesia menyebabkan berlaku kegiatan penyeludupan keluar LPG negara.

"Sebab itulah saya telah diberi penerangan oleh Petronas (Syarikat Petroliam Nasional Bhd) yang telah menemui Pertamina (syarikat minyak dan gas asli Indonesia) untuk membincangkan situasi ini (penyeludupan LPG) dalam konteks perniagaan sebelum sampai ke perbincangan antara kerajaan (Malaysia-Indonesia)," katanya kepada pemberita selepas melawat pulau itu dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Perdagangan Nunukan (Indonesia) Dian Kusimanto.

Pulau Sebatik terbahagi kepada dua iaitu sebahagian di bawah pentadbiran Malaysia dan sebahagian lagi di bawah Indonesia.

Saifuddin berkata, pihaknya perlu memahami dinamik kehidupan masyarakat di pulau berkenaan bagi memudahkannya membuat sebarang keputusan demi memastikan rakyat Malaysia di pulau itu tidak dinafikan hak mereka kepada barang bersubsidi negara.

"Ini akan membantu saya jika ada keperluan penggubalan dasar baharu, terutama bersabit portfolio kementerian saya, yang berkaitan barang keperluan pengguna serta rantaian pengedaran.

"Ini sangat penting untuk saya fahami supaya apa jua pengenalan dasar baharu harus mengambil realiti sejarah, geografi dan hubungan masyarakat yang sudah cukup lama," jelasnya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!