Laporan interim nahas helikopter TLDM dikeluarkan esok - Fahmi

Bangkai pesawat helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 23 April lalu. Foto Bernama
Bangkai pesawat helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 23 April lalu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan interim nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lepas akan dikeluarkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

"Menteri Pertahanan (Mohamed Khaled) hari ini memberi sedikit maklum balas mengenai status laporan awal siasatan bagi nahas helikopter yang berlaku di Lumut (Perak) baru-baru ini.

"Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini adalah laporan awal dan belum ada (laporan) keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Fahmi berkata, mesyuarat Kabinet turut dimaklumkan bahawa laporan penuh siasatan itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter yang berlaku di Pangkalan TLDM, Perak dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!